Translate

Thursday, August 18, 2016

Ahmad Razif terkejut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman  (gambar) terkejut dengan dakwaan atlet berbasikal kebangsaan, Mohd. Azizulhasni Awang bahawa kerajaan negeri gagal memberi bantuan terbaik kepadanya serta pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa ketika membuat persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016.

Ahmad Razif berkata, beliau secara peribadi tidak pernah menerima kertas cadangan bagi penajaan pembe­lian sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kedua-dua atlet itu seperti didakwa.

“Setakat hari ini (semalam), saya tidak tahu menahu tentang hal (permohonan tajaan) ini dan kalau betullah tersalah pandang, saya bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf.

“Saya telah minta Majlis Sukan Negeri dan Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Rozi Mamat untuk membuat penyiasatan agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya sebagai mengulas dakwaan Azizulhasni yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook milik atlet itu sebaik memenangi pingat gangsa Olimpik 2016 dalam acara keirin.

Terdahulu, Ahmad Razif ditemui di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Kuala Nerus ketika menyampaikan sumbangan kepada 172 penduduk dari Seberang Takir yang bakal mengerjakan haji.
Ahmad Razif menegaskan, kerajaan negeri Terengganu amat komited dalam pemba­ngunan sukan dengan menyediakan peruntukan besar untuk segmen itu setiap tahun.

Menurut beliau, sukan berbasikal pula merupakan antara empat sukan teras yang diberi perhatian selain bola sepak, hoki dan kuda lasak.
“Memang dasar kerajaan negeri menyediakan insentif kepada mana-mana atlet Terengganu yang mencipta kejayaan.

“Sebagai contoh, pelumba pasukan berbasikal profesional Terengganu Cycling Team (Mumamad Adiq Husaine Othman) yang meraih Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) dalam Le Tour de Langkawi 2016 baru-baru ini telah menerima ganjaran satu lot tanah dan wang tunai RM10,000,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, kejayaan Azizulhasni merangkul pingat gangsa dalam acara Keirin pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil juga merupakan kebanggaan rakyat Terengganu.

Menurut beliau, kerajaan negeri sedang membuat persediaan untuk menyambut kepulangannya ke Terengganu sebagai seorang wira.

“Selain insentif yang akan diumumkan kelak, kejayaannya (Azizulhasni) juga akan dicatat di Muzium Negeri sebagai kha­zanah berharga Terengganu,” katanya.

No comments:

Post a Comment