Translate

Sunday, August 7, 2016

Khairy hormati pendirian Tunku Ismail

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) menghormati pendirian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menolak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Begitupun, beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut bagi memastikan usul ‘formula baharu’ bagi memulihkan maruah bola sepak negara yang dikemukakannya kepada Tunku Ismail dan Ahli Jawatankuasa (Exco) FAM baru-baru ini berjalan lancar.

“Saya tak mahu menjejaskan ‘rundingan damai’ yang sedang diusahakan. Saya risau kalau tersilap cakap nanti akan ada kesan kepada perancangan yang sedang dibuat.

“Sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak sama ada TMJ (Tunku Ismail) atau Exco FAM, terpulang kepada baginda dan mereka,” katanya sebagai mengulas pendirian Tunku Ismail yang hanya mempertimbangkan tawaran sebagai Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kong­res Football Malaysia Limited Liability Partnership.

Terdahulu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO ditemui selepas merasmikan Mesyua­rat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Dungun di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu semalam.

Khairy Jamaluddin berkata, beliau memilih untuk memainkan peranan di belakang tabir sebagai pemudah cara kepada Tunku Ismail dan Exco FAM demi kemajuan sukan bola sepak negara.

No comments:

Post a Comment