Translate

Monday, August 29, 2016

Terengganu optimis kekal di Liga Super

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BIARPUN sekadar mencatat keputusan seri ke atas Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam kelmarin, ia sudah memadai buat Terengganu.

Pengendali bersama skuad Sang Penyu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor berkata, satu mata yang diperoleh menerusi perlawanan tersebut disifatkan amat berharga kerana membolehkan pasukan tersebut memanjat satu anak tangga di kedudukan ke-10 liga, sekali gus terselamat daripada zon penyingkiran.

“Kalau diikutkan memang kita mahu tiga mata (menang) tapi satu mata pun sudah bersyukur. Walaupun pilihan pemain yang boleh diturunkan agak terhad akibat masalah kecederaan, nampaknya semangat anak buah saya untuk meneruskan perjuangan sehingga akhir musim ini di lihat semakin memuncak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan berkenaan yang berakhir dengan Terengganu dan Pahang terikat 1-1.

Percaturan Che Ku Marzuki memasukkan Issey Nakajima Farran sebagai pemain gantian pada minit ke-68 ternyata tidak sia-sia apabila penyerang kelahiran Kanada itu muncul menjadi penyelamat Terengganu apabila berjaya menyudahkan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan.

Sebelum itu, Pahang terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan penyerang import, Pablo Andres Vranjican yang berjaya menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd. Shabinee Allawee pada minit ke-81.

Che Ku Marzuki berkata, walaupun hanya dua minggu membimbing Terengganu bersama Mustaffa Kamal Abd. Wahab, beliau berkeyakinan tinggi pasukannya itu mampu kekal dalam Liga Super pada musim depan.

Menurutnya, beliau menyasar untuk mengelak sebarang kekalahan menjelang baki tiga perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT), Kedah dan Pulau Pinang.

“Pada masa sama, kita juga mengharapkan pe–saing-pesaing kita yang turut berada di kelompok bawahan liga seperti Pulau Pinang, Sarawak dan PDRM juga akan merosot prestasi mereka dalam tiga perlawanan terakhir ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Che Ku Marzuki yang pernah membim–bing T-Team sebelum ini berkata, secara keseluruhannya skuad Sang Penyu semakin menunjukkan persefahaman, namun sentuhan penyudah masih perlu diperbaiki.

Beliau berkata, barisan serangan Terengganu yang diperkuatkan Norshahrul Idhan Tahala, Issey Nakajima Farran dan Bogdan Milic terlalu bermain secara individu tanpa be–kerjasama sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan lawan.

“Saya hanya ada tempoh 16 hari (waktu rehat) untuk memperbaiki masalah itu sebelum bertemu JDT. Saya yakin mampu mengatasinya,” katanya.

No comments:

Post a Comment