Translate

Tuesday, August 16, 2016

Kakitangan Peladang meninggal dunia disengat ratusan ekor tebuan tanah

KUALA TERENGGANU – Seorang ka­kitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai, Jertih meninggal dunia kelmarin selepas empat hari koma akibat disengat ratusan ekor tebuan tanah di Kampung Gong Medang, Jertih dekat Besut pada Isnin lalu.
Mohamad Ishak (gambar), 61 yang merupakan pemandu traktor pembajak me­ninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 2.20 petang kelmarin.

Isteri mangsa, Mariam Ahmad, 54, berkata, kejadian berlaku ketika suaminya melakukan kerja-kerja membajak di tanah milik PPK Gerai pada pukul 3 petang, Isnin lalu.

“Suami saya tidak perasan jentera pembajak yang sedang dinaikinya telah terlanggar sarang tebuan yang terdapat di kawasan sawah padi tersebut.

“Dia tidak sempat menyelamatkan diri apabila ratusan ekor tebuan tanah menghurung dan menyengat seluruh badannya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mariam berkata, walaupun dalam keadaan lemah, Mohamad yang mempunyai 11 anak berusia dalam lingkungan 11 dan 38 tahun sempat menghubungi salah seorang anaknya untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Menurutnya, semasa ditemui, seluruh badan suaminya termasuk muka telah bengkak akibat disengat oleh tebuan tanah terbabit.

“Dia kemudian telah dikejarkan ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan. Namun dia mula tidak sedarkan diri selepas itu dan terpaksa dirujuk ke HSNZ sebelum disahkan me­ninggal dunia pada petang semalam (kelmarin),” katanya.

Mariam memberitahu jenazah suaminya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lapan Kotak, Jertih selepas solat Isyak kelmarin.

No comments:

Post a Comment