Translate

Friday, August 5, 2016

Pasar percuma Terengganu bakal dibuka

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan mewujudkan pasar percuma yang membolehkan golongan kurang berkemampuan di negeri itu mengambil barangan asas dan lain-lain tanpa sebarang bayaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pada peringkat awal, pasar percuma tersebut akan dibuka sebulan sekali di lokasi strategik di bandar raya ini sebelum diperluas ke semua daerah di negeri ini.

“Selain keperluan asas seperti beras dan gula, pasar percuma tersebut akan turut menyediakan barangan terpakai lain seperti baju, kasut, perabot dan sofa yang boleh diambil tanpa sebarang bayaran.

“Pengunjungnya pula hanya terdiri daripada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Terengganu di sini semalam.

Ahmad Razif berkata, barangan terpakai yang disediakan di pasar percuma terbabit merupakan sumbangan orang ramai yang akan diperbaiki dan dibersihkan untuk kegunaan semula golongan kurang berkemampuan terbabit.

Menurut beliau, mekanisme kutipan sumbangan orang ramai untuk program amal itu dikelolakan oleh Sektreriat Transformasi Terengganu Baharu dan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. yang merupakan agensi kerajaan negeri akan diumum tidak lama lagi.

“Contohnya perabot yang disumbang akan diperbaiki, baju diderma juga akan dibasuh dan dikemaskan terlebih dahulu sebelum diletakkan untuk diambil golongan susah terbabit di pasar percuma.

“Saya percaya konsep ini dapat mengurangkan beban orang kurang berkemampuan dan menyuburkan semangat bantu-membantu dalam kala­ngan rakyat negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment