Translate

Tuesday, August 2, 2016

Pusat Rujukan KPWKM di UTC

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan pusat rujukan sehenti untuk kemudahan masyarakat di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terdapat di seluruh negara.

Menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pusat rujukan sehenti itu menyediakan semua perkhidmatan yang disediakan agensi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

“Konsepnya sama se­perti Kompleks Penyayang­ di Sri Aman, Sarawak yang menghimpunkan semua agensi kementerian ini di bawah satu premis.

“Ia memudahkan golo­ngan sasaran seperti orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas untuk berurusan dengan kami tanpa kekangan waktu pejabat,” katanya selepas merasmikan prapelancaran Pusat Rujukan KPWKM di UTC Terengganu, Paya Bunga Square di sini semalam.

Rohani berkata, selain waktu operasi lebih fleksibel iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam, penempatan pusat rujukan tersebut di UTC menjadikan urusan orang ramai lebih selesa kerana lokasinya yang strategik.

Menurut beliau, antara kemudahan yang disediakan oleh pusat rujukan tersebut ialah pendaftaran kad OKU, kemas kini maklumat peribadi pe­nerima bantuan, rawatan kesuburan, permohonan khidmat kaunseling dan program vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) untuk wanita.

“Orang ramai juga boleh memohon untuk mengadakan aktiviti se­perti ceramah, seminar dan taklimat di pusat rujukan terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment