Translate

Friday, August 19, 2016

Penyudah lemah punca T-Team gagal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KELEMAHAN jentera serangan menyaksikan T-Team sekadar berkongsi satu mata setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan de­ngan Perak pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Ketua jurulatih T-Team, Rachmat Darmawan berkata, kegagalan anak-anak buah­nya memanfaatkan sekurang-kurangnya tiga peluang terhidang menyebabkan penjaga gol lawan, Muhammad Hafizul Hakim menghela nafas lega biarpun pintu golnya hampir dibocori.

“Kita terlalu tergesa-gesa dan agak ragu-ragu setiap kali memperoleh peluang untuk menjaringkan gol, terutamanya pada separuh masa pertama.

“Corak permainan pada separuh masa kedua memperlihatkan peningkatan dan para pemain semakin berani untuk memberi tekanan kepada benteng pertahanan pasukan lawan, namun gol yang dicari-cari masih gagal diperoleh,” kata Rachmat ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Bagaimanapun Rachmat memberitahu, beliau tetap berbangga dengan kekentalan barisan pertahanan T-Team yang kebal menyerap asakan lawan biarpun tanpa kehadiran Maiga Abdoulaye Youssouf.

Dia tidak dapat diturunkan akibat menjalani penggantungan.

Bekas pengendali skuad bawah 23 tahun Indonesia itu berkata, kekentalan pertahanan tersebut menyebabkan barisan serangan Perak yang turut dikenali sebagai The Bos Gaurus gagal menembusi kotak penalti T-Team biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan.

“Saya juga melihat polisi penggiliran pemain telah memberi kesan positif kepada T-Team kerana secara keseluruhannya, kesebelasan utama yang diturunkan berada pada tahap kecergasan yang tinggi.

“Kita optimis mampu membaiki kedudukan dalam baki empat perlawanan Liga Super selain cuba mara sejauh mungkin dalam kempen Piala Malaysia,” katanya.

Keputusan seri itu meletakkan T-Team yang juga mendapat jolokan The Titans naik satu anak tangga ke tempat ke tujuh liga dengan 20 mata, manakala Perak pula di tangga keenam dengan pungutan 21 mata.

No comments:

Post a Comment