Translate

Sunday, August 4, 2019

Tukang kayu dibelasah, tak puas hati lembu cedera

KUALA TERENGGANU – Perbuatan dua penjaga lembu membelasah seorang lelaki yang didakwa melakukan khianat ke atas ternakan mereka memakan diri apabila kedua-duanya diberkas.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang, Khamis lalu itu, mangsa yang berusia 31 tahun cedera pada lengan dan dada selepas diserang dengan menggunakan dua batang kayu.
Menurut sumber, semasa kejadian, mangsa yang be­kerja tukang kayu baru tiba di rumahnya selepasnya mengambil anaknya dari sekolah sebelum didatangi suspek dalam keadaan marah-marah.

“Suspek masing-masing memegang batang kayu menyerang mangsa ke­rana mendakwa lelaki itu mencederakan lembu peliharaan mereka.

“Kedua-dua suspek turut merosakkan motosikal bapa mangsa di hadapan rumah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber itu memberitahu, mangsa bernasib baik apabila diselamatkan bapanya yang pulang ke rumah menyebabkan dua penyerang itu melarikan diri.

Jelasnya, sebelum be­redar, salah seorang suspek didakwa mengugut untuk memukul lagi mangsa sehingga mati pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd. Gunnos mengesahkan kejadian dan memberitahu, kedua-dua suspek direman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 serta 506 kanun sama.

No comments:

Post a Comment