Translate

Thursday, August 8, 2019

Terengganu haram aktiviti berjaja di persimpangan jalan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu mengharamkan sebarang aktiviti penjajaan di persimpangan lampu isyarat yang kini popular di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, langkah drastik tersebut diambil setelah mengambil kira aspek keselamatan, kesihatan dan peruntukan undang-undang.

"Walau pun secara peribadi, saya kagum dengan idea kreatif usahawan terbabit berniaga namun kerajaan negeri Terengganu dengan berat hati tidak boleh membenarkan aktiviti ini dijalankan.

"Sehubungan itu, saya meminta semua penjaja terlibat menghentikan aktiviti mereka secara serta-merta bagi mengelakkan tindakan perundangan diambil," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mohd. Nurkhuzaini berkata, faktor utama pengharaman aktiviti penjajaan produk jeruk mempelam dan bebola daging di persimpangan jalan raya tersebut di negeri ini tersebut kerana ia bertentangan dengan Peraturan Lalulintas 1959 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.


Aktiviti penjajaan di persimpangan lampu isyarat ala di Jakarta, Indonesia melibatkan dua produk utama iaitu jeruk mempelam dan bebola daging mula mencetuskan fenomena di Terengganu pada awal tahun 2018 bermula di beberapa jalan utama di bandar raya ini dan kini ia telah berkembang ke seluruh daerah di negeri ini kecuali Setiu. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment