Translate

Monday, August 5, 2019

72 jam cuma minum air mineral

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tiga pekerja resort yang dihanyutkan di dalam bot gentian kaca selama empat hari sejak Rabu lalu sehingga ke perairan antarabangsa mengakui hampir putus asa sehingga tidak dapat melelapkan mata sepanjang tersadai di dalam bot ber­kenaan.

Salah seorang mangsa, Fauzi Mohamad, 40, berkata, mereka hanya minum air mineral yang dibawa bersama di dalam bot gentian kaca terbabit sepanjang empat hari hanyut di tengah laut sebelum diselamatkan sekumpulan nelayan Thailand di perairan antara Thailand dan Vietnam pada kedudukan 150 batu nautika dari Kuala Dungun kelmarin.

“Kami terpaksa berjimat meminum air mineral kerana tiada makanan lain. Bekalan yang  dibawa di dalam bot hanya  ayam, ikan dan daging mentah,” katanya ketika ditemui di Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam.

Terdahulu, dia bersama dua rakan sekerja iaitu Muhammad Firdaus Mohd. Awalludin, 25, dan Mohd. Hafiz Abdul Rahim, 22, yang ditempatkan sementara di Pelantar Minyak Bunga Orkid selamat tiba di jeti berkenaan dengan menaiki Kapal Maritim Pekan pada pukul 8.50 pagi.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Mohd. Yusoff Aman dan Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli.

Fauzi yang berkhidmat sebagai pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol sejak hampir 10 tahun memberitahu, mereka sebenarnya sedar kehadiran aset-aset pasukan mencari dan menyelamat seperti pesawat, bot peronda dan kapal maritim tidak jauh dari lokasi botnya tersadai sejak hari kedua lagi.

“Kami nampak pihak berkuasa sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada jarak kira-kira antara lima batu (8.05 kilometer) dan enam batu (9.66 kilometer) dari kedudukan bot kami.

“Pelbagai isyarat telah kami lakukan seperti mengibarkan kain serta menutup dan membuka suiz lampu berulang kali bagi menarik perhatian tetapi malangnya mereka gagal mengesan kami,” jelasnya.

Sementara itu, Muhammad Firdaus memberitahu, salah satu enjin bot gentian kaca yang mereka naiki mengalami masalah sewaktu menghampiri Pulau Tenggol, Dungun pada kira-kira pukul 1 petang, 31 Julai lalu.

“Tidak lama kemudian enjin kedua pula tidak berfungsi menyebabkan bot kami hanyut di sekitar perairan Pulau Tenggol sehingga dibawa arus dan ombak kuat laut jauh ke perairan antarabangsa pada hari keempat.

“Kami cuba memohon bantuan sejak hari pertama namun kawasan itu tidak mempunyai sebarang isyarat telekomunikasi. Pelbagai usaha untuk menyelamatkan diri termasuk berlindung di pulau-pulau kecil di sekitar perairan Terengganu juga gagal menyebabkan kami berserah pada takdir,” ceritanya.

Kosmo! baru-baru ini me­laporkan perjalanan seorang pemandu bot bersama dua pekerja sebuah resort untuk menghantar bekalan air dan tong gas dari jeti Kuala Dungun ke Pulau Tenggol di sini tidak kesampaian apabila mereka dilaporkan hilang selepas gagal tiba di pusat peranginan itu kelmarin.

Tempoh perjalanan dari jeti Kuala Dungun ke pulau tersebut mengambil masa kira-kira satu jam dan sepatutnya tiba di pulau ber­kenaan pada pukul 1.30 petang, namun mereka gagal dihubungi.

No comments:

Post a Comment