Translate

Sunday, August 4, 2019

Semangat Penyu semakin membara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMENANGAN pada aksi sulung dalam Kumpulan A kempen Piala Malaysia kelmarin telah meningkatkan keyakinan Terengganu Football Club I (TFC I) untuk terus berusaha mengulangi pencapaian mara ke final pada musim lalu.

Pengendali sementara TFC I, Mohd. Nafuzi Zain berkata, kejayaan menumbangkan kelab Perbadanan Kemajuan Nege­ri Sela­ngor FC (PKNS FC) 3-1 tersebut merupakan satu permulaan positif buat skuad Penyu bagi kempen Piala Malaysia tahun ini.

“Kami berjaya mencapai misi utama iaitu meraih tiga mata pertama pada aksi sulung. Bagi saya, tiga gol yang dijaringkan malam ini (kelmarin) boleh dianggap bonus.

“Sepanjang kempen peringkat awal Piala Malaysia ini, kami seboleh-bolehnya tidak mahu keciciran sebarang mata memandangkan tiga pencabar dalam kumpulan ini iaitu PKNS FC, Kedah dan Negeri Sembilan bukan calang-calang pasukan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Nafuzi juga memuji komitmen tinggi yang dipamerkan anak-anak buahnya sambil menyifatkan ia adalah aksi terbaik pernah ditampilkan mereka, sejak beliau mengambilalih tugas sebagai jurulatih sementara skuad itu lebih tiga bulan lalu.

Namun, bekas pemain Terengganu itu tidak mahu pemain TFC I cepat berpuas hati dengan kejayaan tersebut kerana percaya potensi sebenar naib juara edisi tahun lalu itu adalah lebih bagus daripada aksi yang ditunjukkan kelmarin.

“Kami berjaya buktikan kemampuan kami walaupun skuad ini sebenarnya serba kekura­ngan akibat penggantungan dan kecederaan ramai pemain utama, termasuk kapten pasukan, Lee (Andrew) Tuck.

“Ia sedikit sebanyak membangkitkan semangat kami untuk memenuhi hasrat menggunung para penyokong yang mahu melihat skuad ini sekurang-kurangngnya mara sekali lagi ke final edisi kali ini,” katanya.

Bagaimanapun, Nafuzi me­negaskan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak pernah memberi tekanan kepadanya untuk mengulangi pencapaian yang sama pada tahun lalu.

“Saya hargai sokongan padu dan kepercayaan diberikan PBSNT kepada saya untuk memperbaiki prestasi TFC I mengikut acuan sendiri,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment