MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila bergaya menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS FC) 3-1 pada aksi kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Tuan rumah bermula garang apabila mendahului 1-0 menerusi pemain tengah import, Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-5.
Pemain kelahiran Uzbekistan itu sekali lagi meledak untuk gol kedua peribadi dan ketiga buat skuad Penyu pada masa kecederaan menjadikan kedudukan penuh 3-1.
Terdahulu, skuad Semut Merah yang tersentak ketinggalan telah memperkemas kembali barisan serangan sebelum berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan penyerang, Muhammad Jafri Firdaus Chew pada minit ke-30.
Begitu pun keceriaan PKNS FC cuma seketika apabila kembali ketinggalan 1-2 selepas pemain pertahanan skuad Penyu, Nasrullah Haniff Johan bijak memanfaatkan hantaran Shaakhmedov pada minit ke-37.
TFC I sudah boleh melebarkan lagi jurang jaringan namun dua gol yang dihasilkan kapten pasukan, Kipre Tchetche pada minit ke-16 dan 47 dibatalkan kerana berada pada kedudukan offsife.
Muhammad Jafri pula sekali lagi hampir menyamakan kedudukan buat skuad Semut Merah namun rembatannya pada minit ke-53 sekadar menyentuh palang gol.
Tchetche juga berpeluang untuk menempa nama sebagai penjaring namun percubaannya pada minit ke-61 pula ditepis penjaga gol PKNS FC, Tauffiq Ar Rasyid Johar. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment