Translate

Sunday, August 4, 2019

Tiga pekerja resort ditemui selamat

DUNGUN – Tiga pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol dekat sini yang hilang sejak Rabu lalu ditemui selamat di perairan antarabangsa antara Thailand dan Vietnam semalam.

Penemuan kesemua mangsa iaitu Fauzi Mohamad, 40; Muhammad Firdaus Mohd Awalludin, 25, dan Mohamad Hafiz Abdul Rahim, 22, dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada pukul 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bot dinaiki mangsa ditemui sebuah bot nelayan Thailand yang kebetulan melalui perairan tersebut yang terletak kira-kira 112 batu nautika dari Pulau Tenggol.

“Kesemua mangsa dihantar ke Pelantar Minyak Bunga Orkid yang terletak tidak jauh dari lokasi itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Baharudin berkata, penyelia pelantar minyak milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu kemudiannya memaklumkan penemuan Fauzi, Muhammad Firdaus dan Mohamad Hafiz kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini.
Beliau berkata, ketiga-tiga pekerja resort itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi agak kepenatan kerana lebih tiga hari terdampar di laut.

“Berdasarkan keterangan awal, bot gentian kaca yang dinaiki mengalami kerosakan sewaktu mereka dalam perjalanan ke Pulau Tenggol sebelum dihanyutkan arus laut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sebaik menerima panggilan daripada pelantar Bunga Orkid Petronas, pihaknya menggerakkan KM Pekan ke lokasi itu untuk urusan membawa balik ketiga-tiga mangsa.

“Ketika diselamatkan, mangsa dalam keadaan keletihan. Namun, keadaan mereka pulih sedikit selepas diberi rawatan dan makanan serta minuman oleh krew Jeti 4 Pelantar Bunga Orkid,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan ketiga-tiga mangsa dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca yang dalam perjalanan membawa tong gas memasak dan air minuman ke Pulau Tenggol tidak tiba mengikut  masa yang ditetapkan selain telefon mereka gagal dihubungi.

Sementara itu, Abdul Rahim Endut, 54, yang merupakan bapa kepada Mohamad Hafiz memberitahu, dia melakukan solat syukur sebaik mengetahui berita gembira tersebut pada pukul 7 pagi.

“Saya akui fikiran agak berkecamuk memikirkan perkara bukan-bukan yang bot dinaiki anak saya dan dua lagi rakan sekerjanya mungkin telah karam sejak hari pertama mereka dilaporkan hilang.

“Begitu pun, saya dan ahli keluarga tidak putus-putus berdoa moga-moga keajaiban berlaku. Alhamdulillah Allah telah makbulkan doa saya hari ini (semalam),” katanya.

No comments:

Post a Comment