Translate

Monday, August 5, 2019

Khabar angin jadi punca PKNS FC tewas

DESAS-desus mengenai kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS FC) bakal ‘diturunkan pangkat’ menjadi pasukan pelapis kepada Selangor pada musim depan, sedikit sebanyak telah menjejaskan tumpuan skuad Semut Merah itu sehingga tewas pada aksi pertama Kumpulan A kempen Piala Malaysia kelmarin.

Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal tidak menolak kemungkinan fokus para pemainnya sedikit terganggu sehingga kalah mudah 1-3 kepada Terengganu Football Club I (TFC I) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

“Mungkin terganggu, tetapi sejujurnya saya tidak pernah bertanya berhubung perkara itu (reaksi bakal menjadi pasukan pelapis) dengan anak-anak buah saya.

“Saya mungkin perlu bertanya secara peribadi dengan pemain-pemain selepas ini atau meminta bantuan ‘bomoh’ sahaja,” katanya secara berseloroh ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Rajagobal berkata, kekalahan 1-3 terhadap TFC I sebenarnya tidak dijangka kerana PKNS FC memiliki rekod pertemuan baik bertemu skuad Penyu sebelum ini.

Menurut bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu, skuad Semut Merah sebenarnya bertandang ke Kuala Terengganu dengan keyakinan tinggi untuk menewaskan TFC I.

“Saya memang kecewa dengan kekalahan ini, apatah lagi kami telah bermain agak baik dan menguasai perlawanan terutama pada babak kedua.

“Begitu pun, beberapa kesilapan mudah yang dilakukan benteng pertahanan menyebabkan kami dibolosi seawal minit ke-5, selain membenarkan pemain tuan rumah meledakkan gol kedua dan ketiga masing-masing pada minit ke-37 dan masa kecede­raan,” katanya.

Rajagobal turut memuji kesungguhan dua penyerang PKNS FC iaitu Kpah Sherman dan Muhammad Jafri Firdaus Chew, walaupun hanya mampu sekali merobek gawang lawan pada minit ke-30.

No comments:

Post a Comment