Translate

Thursday, August 8, 2019

TFC I tekad curi mata berharga di Alor Setar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

FINALIS Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC I (TFC I) berazam untuk mencuri sekurang-kurang satu mata apabila bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar malam esok bagi aksi kedua Kumpulan A menentang Kedah.

Pengendali sementara TFC I, Mohd. Nafuzi Zain berkata, semangat anak-anak buahnya semakin membara untuk mengekang Kedah walaupun rekod pertemuan di gelanggang keramat skuad Helang Merah tersebut sebelum ini kurang memihak kepada mereka.

“Kejayaan menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Se­langor (PKNS FC) telah mening­katkan moral pemain-pemain saya untuk terus memburu mata penting.

“Kalau boleh, TFC I mahu melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia secepat mungkin. Oleh itu, kami tidak mahu keciciran sebarang mata dengan mudah walaupun ber­aksi di laman lawan,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Nafuzi berkata, keha­diran semula kapten pasukan, Lee Andrew Tuck yang sebelum  ini terlepas aksi sulung Kumpulan A Piala Malaysia akibat penggantungan bakal memperkuatkan kembali jentera tengah TFC I.

Begitu pun, beliau mengakui cabaran besar tetap menanti anak-anak buahnya bagi merea­lisasikan misi berkenaan kerana Kedah sememangnya bukan ­calang-calang pasukan.

“Kedah juga sudah pasti be­rada pada fasa motivasi ter­tinggi selepas berjaya me­rangkul Piala FA baru-baru ini, namun saya optimis bukan sesuatu yang mustahil untuk kami mengecewa­kan mereka.

“Apa yang penting pemain-pemain saya kekal fokus sepanjang 90 minit permainan selain menerapkan strategi dan taktikal yang telah disusun barisan kejurulatihan,” katanya.

No comments:

Post a Comment