Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SEMANGAT Terengganu FC I (TFC I) semakin membara untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam Kumpulan A Piala Malaysia menjelang aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu malam esok.
Pengendali sementara TFC I, Mohd. Nafuzi Zain berkata, kejayaan memperoleh enam mata dengan menumbangkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS FC) dan Kedah sebelum ini telah menambah keyakinan anak-anak buahnya.
“Kami memburu tiga mata apabila bertemu Negeri Sembilan di laman sendiri malam lusa (esok) bagi mencerahkan lagi harapan melangkah ke peringkat suku akhir secepat mungkin.
“Namun, saya mengingatkan anak-anak buah saya agar kekal fokus dan tidak memandang mudah pertemuan dengan Negeri Sembilan nanti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Mohd. Nafuzi berkata, pasukan lawan sudah pastinya akan bermain bermati-matian kerana terdesak untuk mencapai kemenangan sulung selepas tewas berturut-turut kepada Kedah dan PKNS FC sebelum ini.
Bekas pemain Terengganu era 2000-an tersebut berkata, berdasarkan pemerhatiannya, skuad Rusa kendalian jurulatih berpengalaman, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad telah mempamerkan persembahan bertenaga walau tewas dalam dua aksi awal kumpulan A.
“Kita harus berwaspada kerana Negeri Sembilan dibarisi pemain-pemain muda yang bermain dalam tempo pantas dan bertenaga.
“Penyerang lawan, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir juga harus diberi perhatian kerana saya melihat prestasinya banyak meningkat berbanding bersama Terengganu sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Nafuzi menaruh kepercayaan penuh terhadap penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh untuk menggalas tanggungjawab mengawal benteng terakhir TFC I pada aksi menentang Negeri Sembilan kelak.
Sebelum ini, TFC I kehilangan dua tonggak penjaga gawang selepas Muhammad Ilham Amirullah Razali digantung perlawanan akibat kad merah pada aksi menentang Kedah manakala Mohd. Suffian Abd. Rahman pula mengalami masalah kesihatan akibat serangan jantung baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment