MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU - Hasrat seorang suri rumah untuk menziarah ibunya tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal Demak Evo Zr ditunggangnya terbabas ketika cuba mengelak seekor kerbau tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 7 Jalan Kuala Ping - Teris berhampiran Kampung Paya Pak Akob dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, Rofaidah Muda, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, Rofaidah dikatakan dalam perjalanan untuk menziarahi ibunya di Kampung Nibung, Kuala Berang dekat sini dari rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Perah, Ajil di sini.
"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, mangsa yang terkejut dengan kehadiran seekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan telah menekan brek secara mengejut.
"Ia menyebabkan motosikal Demak Evo Zr ditunggangi hilang kawalan lalu terbabas sebelum mangsa tercampak ke jalan raya," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, mayat Rofaidah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment