KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu sedang menyiasat penganjuran pesta tarian separuh bogel melibatkan pelancong asing yang didakwa berlaku di sebuah calet di Pulau Perhentian, Besut baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, siasatan dilakukan susulan penyebaran gambar tidak senonoh itu sejak hujung minggu lalu yang didakwa berlangsung di pulau peranginan terkenal tersebut.
“Siasatan terperinci sedang dilakukan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk memastikan kesahihan dakwaan tersebut.
“Sekiranya dakwaan itu terbukti benar, tindakan boleh diambil terhadap pemilik calet yang didakwa menganjurkan pesta tarian tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ariffin berkata, walaupun kesal dengan penganjuran pesta tarian separuh bogel melibatkan pelancong asing, siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut.
Menurut beliau, pemilik calet akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Antara tindakan yang boleh diambil adalah menarik balik lesen operasi calet oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment