Translate

Tuesday, August 6, 2019

Sejam tahan sakit dihempap besi

KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja terpaksa menahan sa­kit hampir sejam selepas dihempap timbunan besi dianggarkan seberat satu tan di sebuah bengkel kimpalan di Kampung Kebor Air, Manir di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Saiful Bakhtiar Mustafa, 38, cedera pada kaki dan diselamatkan anggota bomba yang tiba selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.05 tengah hari.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa sedang menyusun besi-besi tersebut di rak simpanan bersama tiga rakan sekerjanya.

“Rak besi itu runtuh secara tiba-tiba, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan dihempap besi-besi tersebut.

“Rakan-rakan mangsa cuba membantu mengeluarkan lelaki itu tetapi gagal sebelum menghubungi pasukan bomba,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Rozizah, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mang­sa.

Jelasnya, semasa diselamatkan, Saiful Bakhtiar dalam keadaan sedar dan mengadu tidak dapat bergerak kerana kaki kanannya kebas.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk ra­watan,” katanya.

No comments:

Post a Comment