Translate

Tuesday, August 6, 2019

Anak gajah mati dirempuh lori

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seekor anak gajah  betina yang sedang melintas jalan maut selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan bijih besi di Kilometer 44, Jalan Kuala Berang - Aring berhampiran Tasik Kenyir dekat sini kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 10.23 malam itu, gajah berusia dalam lingkungan lima atau enam tahun terbabit sedang melintas jalan bersama sekawan haiwan liar daripada spesies sama dari kawasan hutan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian lori membawa muatan bijih besi terbabit dalam perjalanan ke Pelabuhan Kemaman dari Gua Musang, Kelantan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berusia 32 tahun gagal mengelak sekawan gajah yang tiba-tiba melintas jalan lalu merempuh salah seekor daripadanya.

"Rempuhan itu telah menyebabkan anak gajah  terbabit yang seberat kira-kira 1.5 tan terperosok ke dalam badan lori itu berhampiran tayar hadapannya lalu mati," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan namun bahagian hadapan kenderaan itu remuk.

Tambahnya, kemalangan melibatkan gajah berkenaan telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

"Bangkai anak gajah terbabit telah dilupuskan oleh Perhilitan negeri dengan cara ditanam mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan," katanya.

No comments:

Post a Comment