Translate

Monday, August 12, 2019

SKMM siasat kes Ana Simon

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat kes penyebaran gambar dan video palsu penganjuran pesta tarian separuh bogel di Pulau Perhentian, Besut yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ia selaras dengan arahan Pejabat Peguam Negara yang mahu kes berkenaan disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

"Kes bakal disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Polis akan membantu SKMM untuk menjejak individu dikenali sebagai Ana Simon yang disyaki bertanggungjawab menyebarkan gambar dan video tarian terbabit menerusi akaun Facebook palsu, Nur Amanina Abdul Razak (Terengganu)," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Cawangan Khas Terengganu antara Senior Asisten Komisioner Zakaria Haron dengan Superintendan Zainol Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini semalam.

Aidi berkata, setakat ini, Ana Simon yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 30-an masih belum tampil untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihak mengambil serius kewujudan pusat hiburan haram di Pulau Perhentian dengan meningkatkan operasi.

"Sebuah 'disko pantai' yang beroperasi tanpa lesen di Pasir Panjang, Besut telah dirobohkan manakala dua pengusahanya ditahan dalam serbuan bersepadu pada Isnin lalu. Polis dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia juga giat membanteras penyeludupan arak di Pulau Perhentian.

"Lesen menjual minuman keras tidak pernah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kepada mana-mana pengusaha industri pelancongan di pulau peranginan terbabit," katanya.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan Ana Simon diburu kerana disyaki bertanggungjawab menyebarkan gambar dan video palsu penganjuran pesta tarian separuh bogel kononnya anjuran sebuah calet di Pasir Panjang, Pulau Perhentian, Besut.

No comments:

Post a Comment