Translate

Sunday, August 4, 2019

Hampir putus asa gagal dikesan pasukan mencari dan menyelamat

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tiga pekerja resort yang dihanyutkan di dalam bot gentian kaca rosak selama empat hari sehingga ke perairan antarabangsa mengakui hampir putus asa apabila kelibat mereka gagal dikesan pasukan mencari dan menyelamat.

Salah seorang mangsa, Fauzi Mohamad, 40, berkata, mereka sebenarnya nampak aset-aset pasukan mencari dan menyelamat seperti pesawat, bot peronda dan kapal maritim tidak jauh daripada lokasi bot mereka tersadai sejak hari kedua lagi.

"Kami nampak aset-aset pihak berkuasa yang sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat itu pada jarak kira-kira antara lima batu (8.05 kilometer) dan enam batu (9.66 kilometer) dari kedudukan bot kami.

"Pelbagai isyarat telah kami seperti mengibarkan kain dan menutup dan membuka suiz lampu berulang-ulang untuk menarik perhatian anggota mencari dan menyelamat tetapi mereka gagal mengesan kami," katanya ketika ditemui di Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, dia bersama dua rakan sekerja lain iaitu Muhammad Firdaus Mohd. Awalludin, 25; dan Mohd. Hafiz Abdul Rahim, 22, yang ditempatkan sementara di Pelantar Minyak Bunga Orkid selamat tiba di jeti berkenaan dengan Kapal Maritim (KM) Pekan pada pukul 8.50 pagi.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia (APMM), Mohd. Yusoff Aman dan Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata, jarak penglihatan yang terhad akibat jerebu di sekitar lokasi pencarian berkemungkinan menjadi punca kegagalan pasukan mencari dan menyelamat mengesan bot gentian kaca dinaiki ketiga-tiga mangsa.  - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment