Translate

Friday, August 2, 2019

Andrieiev akan kekang kelincahan penyerang PKNS FC

PEMAIN pertahanan import, Serhii Andrieiev sudah tidak sabar untuk membantu misi pasukannya, Terengganu FC I (TFC I) pada saingan Piala Malaysia menjelang aksi sulung Kumpulan A menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS FC) pada Jumaat ini.

Andrieiev yang dinaikkan pangkat daripada kelab pelapis, TFC II sejak awal bulan ini berkata, skuad Penyu berazam mahu mengulangi sekurang-kurangnya pencapaian musim lalu iaitu mara ke final Piala Malaysia.

“Oleh itu, saya dan rakan-rakan sepasukan akan berusaha gigih untuk menewaskan PKNS FC pada aksi sulung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat ini.

“Kemenangan sulung itu amat penting bagi memperoleh permulaan baik pada saingan Piala Malaysia dengan meraih tiga mata pertama apatah lagi di depan penyokong sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Andrieiev berkata, walaupun masih belum mengetahui selok-belok corak permainan skuad lawan, namun dia yakin mampu mengemudi barisan pertahanan TFC I terutama mengikat pergerakan penyerang sensasi PKNS FC, Kpah Sherman yang juga penjaring terbanyak Liga Super.

Justeru, pemain import kelahiran Ukraine tersebut memberitahu, dia yakin mendapat bimbingan pengendali TFC I, Mohd. Nafuzi Zain dan rakan-rakan sepasukan dalam menyusun strategi dan taktikal sekali gus mengekang serangan PKNS FC nanti.

Andrieiev juga memberitahu, ke­serasian dan kesefahaman dengan rakan sepasukan juga sudah semakin baik setelah kira-kira tiga minggu menyertai TFC I.

“Sebenarnya tidak begitu sukar untuk mengadaptasi permainan bersama TFC I biarpun sebelum ini saya merupakan pemain TFC II.

“Ini kerana kedua-dua pasukan mempunyai falsafah bola sepak yang sama walaupun beraksi pada dua liga berbeza,” katanya.

No comments:

Post a Comment