Translate

Wednesday, August 7, 2019

Tiga pekerja resort Pulau Tenggol ditemui selamat

MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN - Tiga pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol dekat sini yang hilang sejak Rabu lalu ditemui selamat di perairan antarangsa antara Thailand dan Vietnam hari ini.

Penemuan kesemua mangsa iaitu Fauzi Mohamad, 40; Muhammad Firdaus Mohd Awalludin, 25, dan Mohamad Hafiz Abdul Rahim, 22, telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada pukul 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketiga-tiga mangsa dihanyutkan oleh bot gentian kaca mereka yang rosak telah diselamatkan oleh sekumpulan nelayan Thailand.

"Bot dinaiki mereka ditemui sebuah bot nelayan Thailand yang kebetulan melalui perairan berkenaan yang terletak kira-kira 112 batu nautika dari Pulau Tenggol.
"Kesemua mangsa kemudiannya telah dihantar ke Pelantar Minyak Bunga Orkid yang terletak tidak jauh dari lokasi itu," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, penyelia pelantar minyak milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu kemudiannya telah memaklumkan penemuan Fauzi, Muhammad Firdaus dan Mohamad Hafiz kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini.


Kosmo! Online Khamis lalu melaporkan ketiga-tiga mangsa dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca dinaiki mereka yang dalam perjalanan membawa tong gas memasak dan air minuman ke Pulau Tenggol tidak tiba mengikut masa ditetapkan selain telefon mereka gagal dihubungi. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment