Translate

Saturday, January 31, 2026

Harumanis tak dapat, simpanan lebih RM67,000 hilang

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara wanita untuk membeli mangga harumanis bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanan berjumlah RM67,573 hilang dikebas sindiket penipuan.

 Mangsa berusia 61 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 11.27 pagi kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara terbabit membeli mangga harumanis di laman Facebook pada pukul 9 pagi, Selasa lalu. 

“Mangsa kemudian diberi kod pembelian oleh ‘peniaga’ terbabit kononnya sebagai pengesahan. “Dia juga diminta menghantar semula kod tersebut kepada suspek setelah membuat pengesahan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Azli berkata, wanita itu kemudian cemas apabila menyedari wang simpanan di dalam akaun banknya tiba-tiba hilang pada pukul 10 pagi kelmarin. 

Beliau berkata, mangsa yang kehilangan wang simpanan sebanyak RM67,573.63 terus menghubungi pihak bank untuk menyekat akaunnya. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Eksplorasi Pusing Instep


 Sebahagian pengamal media Terengganu bergambar kenangan ketika menyertai Eksplorasi Pusing Institut Teknologi Petroleum Petronas, Batu Rakit,Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Program Desa Cergas Kemas Pulau Manis


 SEBAHAGIAN penduduk asnaf menerima bantuan barangan keperluan pada program Desa Cergas anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Pesara guru takut ditangkap rugi RM181,900 ditipu scammer

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

BESUT – Gara-gara terlalu takut digertak kononnya akan ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan jenayah, seorang pesara guru mengalami kerugian RM181,900 selepas diperdaya scammer. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, mangsa berusia 60 tahun telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat insurans pada pukul 10.30 pagi, 2 September tahun lalu. 

“Mangsa yang menetap Kampung Chegar Batang di sini didakwa kononnya telah membuat tuntutan insurans palsu dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. 

“Suspek kemudian mengarahkan pesara guru terbabit membuka akaun bank baharu kononnya untuk menyiasat wang milik mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam. 

Menurutnya, lelaki warga emas terbabit yang ketakutan akur dengan arahan suspek dengan membuka akaun bank baharu. 

Katanya, mangsa membuka akaun bank tersebut menggunakan nama anaknya di cawangan bank terbabit di Machang, Kelantan. 

“Mangsa kemudian memberikan gambar butiran kad ATM (mesin pengeluaran wang automatik) tersebut kepada suspek. 

“Dia juga menyuruh anaknya memasukkan wang berjumlah keseluruhan RM170,000 secara berperingkat ke dalam akaun bank terbabit,” katanya. 

Ujarnya, mangsa kemudian terus mengikuti arahan suspek dengan memasukkan wang tambahan berjumlah RM11,900 lagi ke akaun bank lain. 

Katanya, pesara guru akhirnya menyedari dirinya tertipu apabila mendapati baki akaun bank yang baru dibukanya tersebut hanya tinggal RM104.55. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai diminta berhati-hati agar tidak mudah terperdaya dengan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali,” katanya.

Tourism Malaysia anjur Grace peringkat Pantai Timur

 

Pengamal media dan pemain industri pelancongan bergambar selepas menyertai program Kecemerlangan, Kolaborasi, Penghargaan dan Pengiktirafan anjuran Tourism Malaysia di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Friday, January 30, 2026

Restoran Panorama terbiar bakal beroperasi semula

 

KUALA TERENGGANU – Restoran Panorama di Taman Puncak Panorama, Bukit Pak Apil di sini, yang terbiar usang sejak lebih lima tahun lalu akan beroperasi semula pada awal tahun depan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pengusaha baharu premis makanan itu telah dilantik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. 

Katanya, kerja-kerja baik pulih akan dilakukan pengusaha baharu tersebut melibatkan kos kirakira RM500,000 bermula bulan Julai depan. 

“Kerajaan berharap pengoperasi semula Restoran Panorama kelak akan mengembalikan semula kegemilangannya dalam kalangan pengunjung termasuk pelancong luar,” katanya ketika melakukan tinjauan di Restoran Panorama di sini semalam. 

Sebelum ini, restoran itu mula beroperasi pada tahun 2012 dan amat terkenal dalam kalangan pengunjung kerana menawarkan panorama indah berlatar belakang bandar raya ini. 

Begitupun, ia terbiar tanpa beroperasi mulai tahun 2020 berikutan pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan banyak struktur rosak serta ditumbuhi semak-samun.

Hari Kanser Sedunia Terengganu


 : Sebahagian peserta program Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat Terengganu di Dewan Komuniti Sri Langkat, Setiu, Terengganu baru-baru ini.

Pesara 73 tahun rugi RM62,109 diperdaya pelaburan palsu

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pesara sebuah syarikat penerbitan akhbar untuk mengaut keuntungan lebih 21 kali ganda lebur apabila dia kerugian RM62,109 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud. 

Lelaki warga emas berusia 73 tahun tersebut yang menyedari tertipu itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 1 tengah hari kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menawarkan pelaburan tidak wujud tersebut daripada nombor telefon tidak dikenali pada bulan lalu. 

“Tawaran pelaburan itu amat menarik kononnya menjanjikan pulangan RM8,500 dalam tempoh cuma 48 jam. 

“Suspek juga mendakwa keuntungan itu boleh diperoleh dengan hanya melabur RM400, membuatkan mangsa tertarik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Azli berkata, pesara tersebut kemudiannya bukan sahaja membuat pelaburan asas, malah mengikut arahan suspek melakukan pembayaran tambahan kononnya sebagai upah pemprosesan pembayaran keuntungan. 

Beliau berkata, lelaki warga emas terbabit membuat transaksi pemindahan wang sebanyak 18 kali ke dalam sembilan akaun bank berasingan yang diarahkan suspek. 

“Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu apabila keuntungan pelaburan dijanjikan tidak diterima.

 “Dia kerugian keseluruhan RM62,109 yang merupakan wang simpanannya,” katanya. 

Menurutnya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tukang kebun maut, motosikal rempuh Perodua Ativa

KUALA NERUS – Gara-gara gagal mengelak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Ativa, seorang tukang kebun yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Gong Pak Jin di sini kelmarin. 

Dalam kejadian pada pukul 9.50 malam itu, mangsa, Ahmad Faizal Zakaria, 33, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Faizal dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gong Datok, Mengabang Telipot, di sini dari sebuah kedai serbaneka berhampiran.

 “Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangi mangsa dikatakan gagal mengelak lalu merempuh pintu hadapan sebuah kenderaan Perodua Ativa.

 “Kenderaan dinaiki empat beranak tersebut pula dikatakan dalam perjalanan ke sebuah dobi berhampiran dari rumah mereka di Taman Kasturi Indah di sini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Azli berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Perodua Ativa dipandu seorang penjawat awam berusia 58 tahun dikatakan membelok ke kanan sewaktu kemalangan berlaku. 

Beliau berkata, impak kemalangan itu turut menyebabkan isteri pemandu kenderaan Perodua Ativa berkenaan berusia 57 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tangan. 

“Pemandu kenderaan Perodua Ativa berkenaan dan dua anak lelaki berusia 14 dan 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Mayat mangsa (Ahmad Faizal) telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Azli berkata, seorang lagi mangsa yang cedera pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

5.2 juta murid mula bersekolah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan SITI A’ISYAH SUKAIMI 

PETALING JAYA – Kira-kira 5.2 juta murid sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan 2026/2027 bermula semalam dan hari ini di seluruh negara. 

Hari ini, sesi persekolahan melibatkan Kumpulan B di semua sekolah di 11 negeri bermula, manakala Kumpulan A di Kedah, Terengganu dan Kelantan telah berjalan sejak semalam. 

Semalam, Kedah mencatatkan seramai 345,259 murid untuk sesi persekolahan kali ini, Kelantan dengan 333,206 murid, manakala Terengganu seramai 256,822 murid. Kumpulan B yang bermula hari ini melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. 

Di Alor Setar, Pengarah Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, seramai 29,004 murid tahun satu daripada keseluruhan 345,259 pelajar memulakan sesi persekolahan semalam selain sebanyak 753 sekolah beroperasi melibatkan 548 sekolah rendah dan 205 sekolah menengah. 

“Ia melibatkan 598 sekolah kerajaan dan 155 sekolah bantuan kerajaan dengan 689 merupakan sekolah sesi pagi, 63 sekolah dua sesi serta sebuah sekolah sesi petang. 

“Semua sekolah beroperasi dengan baik setakat ini walaupun terdapat sekolah yang mempunyai kurang daripada 10 pelajar. 

Tahun ini, terdapat sebuah sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baharu Sungai Lalang di Sungai Petani,” katanya di Kolej Sultan Abdul Hamid, semalam. 

Katanya, pembukaan sesi persekolahan tersebut turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menempatkan pegawai sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di semua sekolah yang bertujuan menyelaras segala perkara berkaitan agenda keselamatan sekolah. 

“Setiap sekolah akan mempunyai seorang pegawai bertujuan menyelaras segala perkara berkaitan agenda keselamatan sekolah dan ini menjadi agenda utama pendidikan bagi memastikan semua murid belajar dalam suasana selamat. 

“Kita juga menerima garis panduan khususnya berkaitan murid yang tinggal di asrama bagi memastikan keselamatan mereka terjamin dan setiap sekolah akan mendapat khidmat nasihat daripada PPS, terutama ketika berlakunya jenayah,” tambahnya. 

Di Tumpat, Timbalan Ketua Setiausaha KPM (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, KPM akan memperluas Program Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) dalam usaha menangani keciciran dalam kalangan pelajar dan murid khususnya masyarakat luar bandar di Kelantan. 

“Program ini sudah dilaksana di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di Tumpat dengan menjadikan pembelajaran di bawah satu bumbung daripada peringkat prasekolah hingga tingkatan lima termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). 

“SK Pulau Beluru sebelum ini merupakan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) yang dilaksana sejak tiga tahun lalu. 

Daripada model K9, KPM menaik taraf sekolah itu kepada K11 kerana pembelajaran wajib sehingga tingkatan lima seperti Pindaan Akta Pendidikan 2025. 

“Jika model K9, pendidikan hanya sehingga tingkatan tiga. Kita tidak mahu pelajar di sekolah tersebut perlu keluar ke sekolah lain selepas tingkatan tiga,” katanya selain menambah sebanyak 35 buah sekolah berada di bawah model K9 dan K11 di seluruh negara.

Pelajar tahfiz maut, dua motosikal bertembung

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Maahad Tahfiz Quran Terengganu maut selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan motosikal lain di Jalan Pengadang Baharu di sini kelmarin. 

Kejadian pada pukul 10.45 malam itu mengorbankan Muhammad Adam Syakir Rahmat, 19. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. 

Seorang lagi mangsa, Muhammad Hafeeq Izzuan Mohd. Izzad Izzuan, 19, yang menunggang motosikal Yamaha Y125 pula parah pada beberapa anggota badan. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Hafeeq Izzuan yang juga pelajar dalam perjalanan ke pulang ke rumahnya di Kampung Gong Kiat dari Kepong di sini. 

“Setibanya di lokasi kejadian berhampiran persimpangan Sungai Rengas, motosikal Honda RS150R dinaiki Muhammad Adam Syakir dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang untuk memasuki persimpangan Taman Adeli 2 di sini. 

“Motosikal Muhammad Hafeeq Izzuan gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mayat remaja itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. Seorang lagi mangsa, Muhammad Hafeeq Izzuan yang parah pula dikejarkan ke Unit Kecemasan hospital sama.

 “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Thursday, January 29, 2026

GPI kutip 35 tan sisa buangan setahun

 

KUALA TERENGGANU – Badan bukan kerajaan, Geng Plastik Ija (GPI) mengambil peranan aktif membersihkan sampah terdampar di pesisir pantai seluruh Terengganu sejak 2017. 

Pengerusi GPI, Zulkefli Sarji berkata, program pembersihan sampah pantai anjuran mereka berjaya mengutip purata 35 tan sampah setiap tahun. 

“Kebanyakan sampahsampah yang dijumpai di pesisir pantai Terengganu sepanjang 244 kilometer dari Kemaman ke Besut itu dikutip sepanjang musim tengkujuh.

 “Kuantiti sampah yang terdampar di pantai pada tempoh Monsun Timur Laut (MTL) memang banyak. Hari ini kita bersihkan, esok berlambak semula,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Zulkefli mengakui sebahagian longgokan sampah yang dijumpai itu dipercayai berasal dari luar negara berdasarkan tulisan pembungkusannya. 

Beliau berkata, seramai 1,000 ahli GPI dengan bantuan ramai lagi sukarelawan tetap komited melakukan pembersihan pantai di seluruh Terengganu.

 “Kita mahu memastikan pesisiran pantai di Terengganu yang terkenal dalam kalangan pengunjung ini berada dalam keadaan sebersih mungkin. 

“Selain itu, kita mahu membudayakan penjagaan alam sekitar dalam kalangan pengunjung pantai peranginan,” katanya. 

Tambahnya, pencemaran pantai jika dibiarkan juga dibimbangi akan menjejaskan hidupan marin terutamanya penyu.

2.06 juta graduan 'underemploymet'

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DI atas kertas, kadar pengangguran dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih berada tahap terkawal iaitu 3.2 peratus. 

Tahap kebolehpasaran siswazah juga nampak memberangsangkan sekurang-kurangnya 85 peratus bagi setiap IPT di seluruh negara. 

Begitupun, kita tidak boleh memejamkan mata dengan fakta, lebih 32 peratus graduan tempatan yang memasuki pasaran buruh itu memperoleh pekerjaan yang lebih rendah dan tidak sepadan dengan kelayakan akademik mereka. 

Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh Tahunan 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangannya kini mencecah kira-kira  2.06 juta orang. 

Realiti memiliki pekerjaan di bawah kelayakan ini bukan memberi kesan langsung terhadap siswazah itu dari segi prospek pengembangan kerjaya dan tangga gaji dalam jangka masa panjang, malah pembaziran sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi terhadap negara. 

Ia terbukti apabila data DOSM menunjukkan 30.2 peratus tenaga kerja tergolong dalam kalangan berkemahiran tinggi, separuh mahir (56.5 peratus) dan berkemahiran rendah (13.3 peratus).

 Apakah puncanya? Tidak berkualitikah graduan tempatan untuk memasuki pasaran pekerja mahir, kursus di unversiti tidak sepadan dengan permintaan industri atau peluang kerja berkemahiran tinggi tidak berkembang? 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, fenomena ‘underemployment’ bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di kebanyakan negara Asia Tenggara, Amerika Syarikat dan Britain. 

Katanya, cabaran utama graduan pada masa ini bukannya tiada pekerjaan, namun kurangnya kerjaya yang sepadan dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

“Kita tidak boleh mengambil rumusan mudah dengan mengatakan masalah isu kebolehpasaran graduan ini berpunca daripada IPT. 

“Sebaliknya, senario sebenarnya ialah pertumbuhan sektor ekonomi bernilai tambah tinggi jauh lebih perlahan berbanding kadar pengembangan pendidikan tinggi tempatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Suriyani menerangkan struktur pekerjaan domestik kini lebih tertumpu kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah rendah seperti sektor runcit, perkhidmatan asas, logistik dan pentadbiran. 

Beliau berkata, sektor ekonomi berkenaan didapati berkembang lebih cepat berbanding aktiviti bernilai tambah tinggi seperti teknologi, penyelidikan, industri kreatif, dan ekonomi hijau.

 “Senario kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi menyebabkan lebihan graduan secara sistemik akan ‘turun kelas’ ke sektor separa mahir. 

“Ia bukan masalah kualiti graduan, namun berpunca daripada permintaan pasaran buruh sendiri,” katanya. 

Ujarnya, isu ini perlu diatasi secara bersepadu melibatkan semua pemegang taruh agar lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi diwujudkan. 

Katanya, IPT memainkan peranan melahirkan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik dan kemahiran insaniah, malah mempunyai kefahaman menyeluruh terhadap pasaran buruh dan keperluan industri serta literasi digital.

Along bogelkan peminjam ditangkap

KUALA TERENGGANU – Polis menumpaskan satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menahan lima anggotanya dalam Op Venture semalam. Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 39 tahun tersebut ditahan selepas mereka disyaki mengasari seorang pelanggannya di Bukit Khor, Marang kelmarin. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, siasatan awal mendapati sindiket pemberi wang tanpa lesen tersebut mula beroperasi pada dua bulan lalu. 

“Kami menerima aduan seorang lelaki mendakwa ditahan sebelum dibogelkan sebelum dipukul selepas dimasukkan ke dalam kereta lalu ditinggalkan dalam kawasan semak di Bukit Khor, Marang semalam (kelmarin). 

“Pada mulanya, mangsa berusia 24 tahun mendakwa menghubungi salah seorang suspek untuk meminjam wang,” katanya. 

Menurut Mohd. Khairi, mangsa juga mendakwa barangan peribadinya termasuk telefon bimbit, dompet dan MyKad hilang. 

Sehubungan itu, beliau berkata, Op Venture dilancarkan yang membawa kepada penahanan kesemua suspek.

 “Serbuan juga berjaya merampas lima telefon bimbit dan dua kereta Proton Saga serta turut menjumpai semula pakaian milik mangsa,” katanya.

Akur mansuh pencen

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akur sekiranya skim pencen terpaksa dimansuhkan asalkan pembaharuan bakal diperkenalkan kelak tidak menggugat faedah sedang dinikmati penjawat awam kini.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pihaknya menaruh keyakinan skim baharu yang sedang dirangka kerajaan itu bersesuaian dengan kumpulan kerja generasi baharu perkhidmatan awam.

“Kita (Cuepacs) telah dimaklumkan sejak 20 Jun 2023 lagi (bahawa) Jawatankuasa Kabinet memutuskan tiada lagi skim pencen.

“Cuepacs tiada masalah jika kerajaan ingin mencadangkan skim menggantikan pencen tetapi hendaklah berlandaskan prinsip faedah diterima kelak tidak kurang daripada diterima hari ini,” katanya pada majlis Syawal Ceria Madani anjuran Cuepacs Terengganu di sini  semalam.

Adnan mengakui pada mulanya, Cuepacs menolak cadangan penggantian skim pencen tersebut.

Begitupun, beliau menjelaskan, Cuepacs akhirnya memahami rasional cadangan kerajaan tersebut selepas dibentangkan kedudukan kewangan negara oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Saban tahun tanggungan pencen semakin meningkat yang dikhuatiri akan datang akan melemahkan perbelanjaan emolumen pencen sehingga terpaksa mengurangkan tumpuan pembangunan.

"Cuepacs juga bertanggungjawab memastikan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa terpelihara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Adnan turut memohon kerajaan agar membuka ruang kepada Cuepacs memberi maklum balas terhadap skim dan dasar baharu lantikan pelantikan perkhidmatan awam itu sebelum ia dimuktamadkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau merayu pertimbangan kerajaan agar membatalkan hasrat menyerap 18,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang kini berstatus kontrak untuk perkhidmatan kepada skim pekerjaan jangka pendek (MyStep).

“Tawaran penukaran kepada skim MyStep ini ibarat ‘turun darjat’ kerana faedah perkhidmatannya jauh lebih rendah berbanding status kontrak untuk perkhidmatan sedang dinikmati.

“PPH ini sudah banyak membantu KPDN sejak 18 tahun lalu. Kerajaan dirayu beri pertimbangan ihsan sekurang-kurangnya menaikkan mereka untuk status kontrak dalam perkhidmatan yang lebih menjamin kebajikan,” katanya.

Staf UniSZA masak gulai kawah


AHLI Persatuan Staf Akademik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bergotong-royong memasak gulai kawah untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di Kampus UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Kedai sepi harga emas melambung

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN



KUALA TERENGGANU – Kenaikan harga emas pada masa ini bukanlah berita gembira buat pengusaha emas di Terengganu. 

Harga barangan kemas yang semakin mahal menyebabkan kebanyakan peminat emas tempatan mengurangkan pembelian barangan kemas. 

Semalam dilaporkan emas mencatatkan harga tertinggi sebanyak RM493 bagi satu gram.

Tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati deretan kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang di sini agak sunyi daripada pe­langgan sejak penghujung bulan Ramadan lalu.

Salah seorang pengusaha kedai emas, Zakaria Yusoff berkata, lazimnya premis perniagaan mereka penuh  dengan pelanggan yang ghairah mahu membeli barangan kemas baharu menjelang sambutan Aidilfitri, namun ia tidak berlaku pada tahun ini.

 “Sambutan agak dingin pada musim perayaan kali ini. Orang ramai seakan sudah tidak teruja untuk membeli barangan kemas baharu untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri. 

“Saya faham kerana harga emas kini sudah mahal, lebih RM405 segram di Terengganu, kalau di Lembah Klang, saya dengar sudah mencecah lebih RM450 segram,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang di sini baru-baru ini. 

Zakaria berkata, harga emas yang terlampau tinggi dan kuasa beli berkurangan ekoran sesi pembukaan sekolah terlali hampir dengan musim perayaan menyebabkan jualan barangan kemas di negeri itu agak merosot. 

“Kita juga harap impak kehadiran pengunjung dalam kalangan pelancong yang biasanya akan melakukan percutian singkat sebelum pulang ke ibu kota pada 6 April ini,” katanya. 

Seorang lagi pengusaha kedai emas, Ghazali Embong pula berkata, dia tidak berpeluk tubuh menunggu pelanggan sebaliknya giat mempromosikan barangan kemasnya di media sosial.

 “Harga emas diramal cecah RM500 segram pada hujung tahun ini. Kami perlu kerap buat ‘live’ (siaran secara langsung) untuk promosi produk kedai emas kami di media sosial,” jelasnya.

Tambahnya, dia menggunakan pelbagai cara pemasaran bagi menarik pembeli.

Doa ibu, jasad Zarif ditemui terdampar selepas 32 jam

KUALA NERUS – Doa seorang ibu yang menanti lebih 32 jam agar seorang kanak-kanak yang ditarik ombak besar di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap, di sini, Jumaat lalu berakhir apabila jasadnya ditemui semalam. 

Mayat Muhammad Zarif Mohd. Hazahari, 5, ditemui terdampar di Pantai Mengabang Panjang di sini, pada pukul 3 pagi. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kampung. 

“Sewaktu ditemui mayat anak kelima daripada enam beradik itu berada dalam keadaan 90 peratus sempurna. 

“Lokasi penemuan kira-kira enam kilometer (km) dari lokasi dia ditarik ombak besar di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap, di sini,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Kosmo! semalam melaporkan, Muhammad Zarif yang sepatutnya mendaftar masuk ke prasekolah semalam ditarik ombak besar sewaktu mahu mencuci kaki di tepi Pantai Sauh pada pukul 6.32 petang Jumaat lalu. 

Keadaan bertambah sayu apabila ibu Muhammad Zarif, Siti Hajar Ismail, 42, tidak tidur semalaman selain membaca alQuran, berdoa sepanjang masa agar jasad mangsa ditemui. 

Sementara itu, Siti Hajar berkata, biarpun sedih kehilangan anak, dia bersyukur jasad Muhammad Zarif ditemui setelah lebih 32 jam hanyut di laut. 

“Alhamdulillah, doa tanpa henti saya agar jasad anak (Muhammad Zarif) ditemui dimakbulkan Allah biarpun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

 “Saya reda dengan ketentuan Allah. Terima kasih semua pihak yang berdoa dan membantu pencarian anak saya,” katanya ketika ditemui selepas mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Rakit, di sini semalam.

Bengkel tanam cili SK Kampung Fikri


 Sebahagian murid bergambar kenangan ketika hadir pada bengkel mempelajari kaedah menanam pokok cili sempena program Ceria ke Sekolah anjuran Kumpulan TDM Berhad di Sekolah Kebangsaan Kampung Fikri, Setiu, Terengganu baru-baru ini.

Wednesday, January 28, 2026

Sampah Vietnam, Thailand cemari Terengganu

 

Oleh MOH D AZLI ADLAN dan NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI

KUALA NERUS – Setiap kali musim tengkujuh melanda, pemandangan 244 kilometer (km) pesisir pantai di Terengganu dicemari dengan lambakan sampah ‘import’ seperti plastik dan botol minuman terutama dari negara Vietnam dan Thailand. 

Dianggarkan 120 tan sampah terdampar di pesisir pantai negeri ini setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) sehingga menjadikan keadaan itu di luar kawalan. 

Tinjauan di beberapa pantai peranginan seperti Pantai Tok Jembal dan Pantai Seberang Takir, di sini serta Pantai Pandak, Kuala Terengganu mendapati hampir 80 peratus sampah  tersebut merupakan sisa plastik dan pembungkus makanan. 

Kebanyakan pembungkus plastik ditemui itu bertulisan Vietnam dan Thailand serta bukanlah produk makanan yang biasa dipasarkan di negara ini. 

Pakar Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir berkata, fenomena lambakan sampah asing terdampar di pesisir pantai Terengganu itu berpunca dari pergerakan arus laut dari utara di Laut China Selatan sepanjang tempoh MTL. 

“Antara negara yang dikenal pasti menjadi ‘penyumbang’ utama sampah-sampah tersebut ialah Thailand dan Vietnam. Ini kerana kedudukan dua negara itu hampir dengan Pantai Timur. Ada juga dari China, Myanmar dan Indonesia tetapi kuantitinya lebih sedikit,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Jelasnya, sampah asing itu turut dihanyutkan di pesisir pantai Kelantan dan Pahang namun lebih ketara di Terengganu kerana jajaran pantainya yang panjang.

 “Angin kencang dan ombak besar sepanjang tempoh MTL mempercepatkan proses sampah terdampar ke pesisir pantai berbanding musim lain.

 “Lagi pun arus MTL lebih kuat berbanding Monsun Barat Daya sekali gus membawa lebih banyak sampah dari utara,” katanya. 

Katanya, pencemaran rentas sempadan berkenaan berlaku kerana laut tidak mempunyai sempadan fizikal. 

“Keadaan ini telah mencacatkan pemandangan pantai Terengganu selain mengganggu aktiviti rekreasi dan membahayakan keselamatan pengunjung. 

“Ia juga memberi risiko terhadap hidupan marin seperti penyu dan burung yang menyangka sampah plastik itu merupakan sumber makanannya,” katanya.

 Katanya, biarpun fenomena tersebut di luar kawalan, komuniti setempat dengan galakan pihak berkuasa dan kerajaan negeri boleh mengurangkan impak negatifnya dengan kerap melakukan pembersihan di pesisir pantai terlibat.

 “Masyarakat juga perlu membudayakan kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata.

 “Kita mungkin lupa sampah domestik yang dibuang ke longkang juga akan mengalir pantai menerusi aliran sungai,” katanya.

Rombongan SMK Sultan Ahmad melawat Muzium Negeri Terengganu


 Guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad bergambar ketika lawatan ke pameran ‘Saya Suka Sushi’ di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru in

Orang muda mudah terjebak hutang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

LITERASI atau tahap kefahaman kewangan rakyat terutama golongan muda amat rendah iaitu sekitar 32 peratus. 

Jumlah itu lebih rendah berbanding purata literasi kewangan di peringkat global iaitu 42 peratus. Ketidakcekapan mengatur kewangan peribadi menyebabkan ramai orang muda terjebak dengan beban hutang. 

Ia dibuktikan dengan statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) baru-baru ini yang menunjukkan individu berusia antara 30 dan 40 tahun merupakan golongan terbesar atau 41 peratus bermasalah untuk membayar hutang di negara ini. 

Selain itu, data sama mendapati nilai terkumpul hutang yang dilakukan golongan muda bawah 30 tahun juga tinggi sebanyak RM1.9 bilion.

Lebih parah, 28 peratus daripada rakyat negara ini terpaksa berhutang hanya semata-mata untuk membeli barang keperluan. 

Pensyarah Kewangan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Siti Nurain Muhmad berkata, senario membimbangkan itu disebabkan kegagalan individu terlibat membezakan keperluan dengan kehendak hidup. 

Beliau berkata, ramai terdorong membeli barangan kehendak demi menjaga penampilan atau status sosial semata-mata. 

“Kebanyakan generasi muda sekarang ini mendambakan gaya hidup yang amat dipengaruhi oleh media sosial. 

“Budaya fear of missing out atau FOMO (rasa bimbang ketinggalan) mengeruhkan lagi keadaan,” katanya kepada Kosmo!. 

Siti Nurain berkata, amalan berhutang pada masa ini juga telah dipermudah dengan penawaran kemudahan Bayar Dahulu, Beli Kemudian (BNPL) dalam transaksi seharian. 

Beliau berkata, gaya hidup melebihi kemampuan tersebut jelas menjadi penyumbang utama golongan muda mudah terperangkap dalam kitaran hutang. 

“Kos sara hidup mereka meningkat mendadak, sekali gus sukar untuk menyimpan ekoran ketiadaan lebihan pendapatan. 

“Jika dibiarkan, ia amat berbahaya kerana golongan terbabit berisiko tinggi terjerumus dalam risiko keberhutangan yang kronik,” katanya.

 Sehubungan itu, Siti Nurain berkata, semua pemegang taruh di negara ini harus memainkan peranan membantu memberi lebih pendedahan dan pemahaman pengurusan kewangan terhadap generasi muda. 

Beliau berkata, literasi yang tinggi membolehkan mereka menguruskan kewangan dengan baik, sekali gus meningkatkan lagi kualiti hidup serta indeks kebahagiaan dalam jangka panjang.

 Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berkata, golongan muda perlu mengambil inisiatif menguasai pengurusan kewangan yang berhemah. 

Beliau berkata, beban hutang disebabkan pengurusan kewangan yang lemah akan memberi kesan buruk terhadap kehidupan mereka dalam jangka panjang. 

“Mereka berisiko terjerumus dalam situasi muflis. 

“Tekanan akibat beban hutang juga boleh menjejaskan keharmonian keluarga,” katanya.


Keluarga Zamri Abdul Ghani beraya

 


Sebahagian ahli keluarga Zamri Abdul Ghani (tengah) bergambar kenangan sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

‘Tak masuk akal labur RM4j dapat RM126j’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Warga emas termasuk golongan pesara dikenal pasti sebagai mangsa utama kepada kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan skim mata wang kripto sejak kebelakangan ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebahagian besar kerugian yang mencecah RM123.64 juta itu disebabkan penipuan pelaburan mata wang kripto palsu.

 “Kita sendiri tidak tahu mata wang kripto. Mudah sangat kita beri duit berjuta kepada sindiket untuk melabur bagi pihak kita, walhal ia sebenarnya tidak dilaburkan. 

“Mata wang kripto dipapar pada skrin berlipat ganda keuntungan. Labur RM4 juta, boleh dapat RM126 juta, langsung tidak masuk akal tetapi ada yang percaya,” katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini semalam. 

Ramli berkata, tambah membimbangkan sebahagian besar mangsa pelaburan mata wang kripto tidak wujud ini merupakan golongan pesara yang kerugian jutaan ringgit. 

Beliau berkata, salah satu kes penipuan mata wang kripto tidak wujud pernah diterima melibatkan seorang warga emas berusia 74 tahun di Johor yang rugi sehingga puluhan juta ringgit.

 “Warga emas jangan terlampau teruja melabur dalam mata wang kripto. Kadang-kadang kita guna simpanan dan meminjam kerana tertarik kononnya mendatangkan keuntungan banyak.

 “Semua ini penipuan, ia bukan sahaja menyebabkan kerugian, malah menyebabkan kecelaruan mental sepanjang hayat terutama kepada mangsa warga emas,” katanya. 

Sebelum ini, JSJK Bukit Aman memaklumkan jumlah kerugian akibat kes jenayah komersial sepanjang tahun lalu adalah melebihi RM3.1 bilion. 

Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 41,701 kertas siasatan telah dibuka. 

Menurut Ramli, jenayah komersial paling banyak direkodkan bermula awal Januari sehingga hujung Disember tahun lalu adalah jenayah penipuan dengan 37,240 kes membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM2.45 bilion. 

Katanya, kes membabitkan jenayah pecah amanah mencatatkan sebanyak 1,448 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM546.39 juta.

‘Galas tugas, 13 tahun tidak beraya bersama keluarga'

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tatkala insan lain ceria bersama keluarga tercinta meraikan Aidilfitri, seramai 43 pegawai dan anggota Maritim Malaysia (APMM) berkorban mengawal perairan Terengganu pada pagi 1 Syawal. 

Pegawai Pemerintah Kapal Maritim (KM) Redang, Mohd. Hafizuddin Mohd. Jalal berkata, beliau dan 15 anak kapalnya me­rupakan sebahagian warga APMM yang bertugas dalam Ops Khas Pagar Laut menjaga perairan negara daripada dicerobohi pada musim perayaan ini.

 “Kami ditugaskan mengawal perairan Terengganu sehingga 180 batu nautika (333.36 kilometer) ke sempadan perairan antarabangsa sehingga  3 Syawal (kelmarin).

 “Tumpuan kami memastikan perairan negeri ini tidak diceroboh nelayan Vietnam selain mengekang sebarang aktiviti penyeludupan dan mencuri kabel elektronik pelantar minyak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini. 

Mohd. Hafizuddin berkata, beliau dan anak kapalnya sudah ‘alah bisa tegal biasa’ terpaksa berjauhan daripada ahli keluarga pada hari mulia tersebut. 

Beliau yang sudah 13 tahun tidak beraya bersama keluarga berkata, mereka memahami amanah yang digalas untuk mempertahankan tanah air mengatasi segalanya sebaik terpilih untuk menyarung seragam APMM. 

“Saya akui sebahagian ahli keluarga kami terutama anak-anak bersedih merayakan Aidilfitri tanpa kami. Saya harap mereka faham dan merelakan. 

“Bagi anak kapal pula, kami bagaikan satu keluarga besar. Biarpun bertugas di tengah lautan, suasana malam dan pagi raya tetap disemarakkan,” katanya. 

Mohd. Hafizuddin berkata, mereka biasanya akan melaungkan takbir raya bersama-sama pada malam dan pagi raya. 

Katanya, beliau dan anak kapal juga akan menikmati hidangan tradisional pada pagi raya bagi mengurangkan kerinduan kepada ahli keluarga. 

Sementara itu, seorang lagi pegawai APMM, Azman Setapa yang bertugas sebagai cef KM Redang berkata, beliau ditugaskan untuk menyediakan juadah pada pagi 1 Syawal. 

“Biarpun serba ringkas, kami tetap akan menikmati hidangan raya seperti rendang, nasi impit, nasi beriani dan lontong bersama-sama sebagai simbolik mensyukuri ketibaan Aidilfitri,” tambahnya.

Ulang tahun kelahiran Rohana Hamzah ke-69

 


Ahli keluarga meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Rohana Hamzah (enam dari kanan) ke-69 di Presint 11, Putrajaya baru-baru in

Makan Malam Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Melayu dan India Terengganu


 : Sebahagian ahli Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Melayu dan India Terengganu yang menghadiri majlis makan malam di Restoran Matahari, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini

Tuesday, January 27, 2026

Bantuan Persekolahan Lembaga Pelabuhan Kemaman

 


: Sebahagian murid dan pelajar kurang berkemampuan serta mangsa banjir menerima bantuan persekolahan daripada Lembaga Pelabuhan Kemaman di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

2.06 juta graduan 'underemployment'

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DI atas kertas, kadar pengangguran dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih berada tahap terkawal iaitu 3.2 peratus. 

Tahap kebolehpasaran siswazah juga nampak memberangsangkan sekurang-kurangnya 85 peratus bagi setiap IPT di seluruh negara. 

Begitupun, kita tidak boleh memejamkan mata dengan fakta, lebih 32 peratus graduan tempatan yang memasuki pasaran buruh itu memperoleh pekerjaan yang lebih rendah dan tidak sepadan dengan kelayakan akademik mereka. 

Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh Tahunan 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangannya kini mencecah kira-kira  2.06 juta orang. 

Realiti memiliki pekerjaan di bawah kelayakan ini bukan memberi kesan langsung terhadap siswazah itu dari segi prospek pengembangan kerjaya dan tangga gaji dalam jangka masa panjang, malah pembaziran sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi terhadap negara. 

Ia terbukti apabila data DOSM menunjukkan 30.2 peratus tenaga kerja tergolong dalam kalangan berkemahiran tinggi, separuh mahir (56.5 peratus) dan berkemahiran rendah (13.3 peratus).

 Apakah puncanya? Tidak berkualitikah graduan tempatan untuk memasuki pasaran pekerja mahir, kursus di unversiti tidak sepadan dengan permintaan industri atau peluang kerja berkemahiran tinggi tidak berkembang? 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, fenomena ‘underemployment’ bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di kebanyakan negara Asia Tenggara, Amerika Syarikat dan Britain. 

Katanya, cabaran utama graduan pada masa ini bukannya tiada pekerjaan, namun kurangnya kerjaya yang sepadan dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

“Kita tidak boleh mengambil rumusan mudah dengan mengatakan masalah isu kebolehpasaran graduan ini berpunca daripada IPT. 

“Sebaliknya, senario sebenarnya ialah pertumbuhan sektor ekonomi bernilai tambah tinggi jauh lebih perlahan berbanding kadar pengembangan pendidikan tinggi tempatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Suriyani menerangkan struktur pekerjaan domestik kini lebih tertumpu kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah rendah seperti sektor runcit, perkhidmatan asas, logistik dan pentadbiran. 

Beliau berkata, sektor ekonomi berkenaan didapati berkembang lebih cepat berbanding aktiviti bernilai tambah tinggi seperti teknologi, penyelidikan, industri kreatif, dan ekonomi hijau.

 “Senario kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi menyebabkan lebihan graduan secara sistemik akan ‘turun kelas’ ke sektor separa mahir. 

“Ia bukan masalah kualiti graduan, namun berpunca daripada permintaan pasaran buruh sendiri,” katanya. 

Ujarnya, isu ini perlu diatasi secara bersepadu melibatkan semua pemegang taruh agar lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi diwujudkan. 

Katanya, IPT memainkan peranan melahirkan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik dan kemahiran insaniah, malah mempunyai kefahaman menyeluruh terhadap pasaran buruh dan keperluan industri serta literasi digital.

UniSZA keluar larangan riadah air

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengeluarkan arahan yang melarang pelajarnya daripada melakukan sebarang aktiviti riadah air berkuat kuasa serta merta susulan dua kejadian lemas yang meragut nyawa dua mahasiswa universiti itu dalam tempoh lima hari. 

Berdasarkan berkongsian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA, larangan itu melibatkan semua aktiviti air sama ada sungai, air terjun dan pantai. 

“Adalah dimaklumkan bahawa semua mahasiswa dan mahasiswi UniSZA dilarang sama sekali mengadakan sebarang aktiviti air berkuat kuasa serta-merta.

 “Larangan ini adalah atas faktor keselamatan dan akan berkuat kuasa sehingga notis rasmi selanjutnya dikeluarkan oleh pihak universiti,” kata kenyataan yang dikeluarkan MPP UniSZA semalam. 

Sehubungan itu, pihak MPP meminta semua mahasiswa untuk mematuhi arahan berkenaan demi kesejahteraan bersama. 

Terdahulu, dua kejadian lemas melibatkan pelajar UniSZA mencetuskan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan pengurusan universiti, namun turut dirasai ahli keluarga pelajar berkenaan.

 Kejadian pertama berlaku pada 12 Mei yang mengorbankan Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, yang merupakan pelajar tahun tiga Sarjan Muda Undang-Undang. Mangsa dilaporkan lemas ketika berkelah bersama rakanrakan di kawasan air terjun Lata Changkah dekat sini sempena cuti Hari Wesak. 

Kejadian kedua pula berlaku kelmarin melibatkan pelajar tahun pertama jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam), Abed Mifzal Azman, 22, yang lemas dalam insiden kepala air sewaktu berkelah di Lata Payung di sini pada kelmarin. 

Lata Cangkah yang terletak di Sungai Setiu dan Lata Payung di Sungai Payung Anak dengan jarak kira-kira 49 kilometer antara satu sama lain dikenal pasti antara kawasan perkelahan terdedah dengan fenomena kepala air di daerah ini. 

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, pemantauan mendapati kawasan air terjun dan lata di sekitar daerah ini tidak selamat untuk aktiviti riadah disebabkan faktor cuaca buat masa ini. 

“Cuaca sekarang yang tidak menentu telah meningkatkan risiko fenomena kepala air. “Saya menasihatkan orang ramai agar menangguhkan sebentar niat untuk beriadah di kawasan perkelahan sekitar daerah ini buat sementara waktu,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam. 

Sementara itu, seorang pelajar UniSZA yang mahu dikenali sebagai Sha mendakwa, berkelah di kawasan lata yang terkenal dengan keindahan di Setiu merupakan antara aktiviti kegemaran kebanyakan pelajar universiti pada hujung minggu dan cuti umum.

 “Jarak kawasan perkelahan itu dengan kampus UniSZA Gong Badak, Kuala Nerus juga tidak berapa jauh iaitu lebih kurang 50 hingga 60 kilometer. 

“Kami terutama pelajar luar yang bukan berasal dari Terengganu teruja untuk menerokai lata terbabit yang diketahui menerusi media sosial dan bual mulut rakan-rakan sekampus,” katanya.

Padah bela burung bayan puling, murai batu tanpa permit

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Tiga ekor burung bayan puling dan murai batu bernilai RM16,150 yang dibela tanpa permit oleh seorang lelaki dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Macang, Ajil di sini semalam.

Serbuan di rumah lelaki itu pada pukul 4.25 petang dilakukan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Komander PPM Wilayah 3, Asisten Komisioner Zulafendi Hassan berkata, pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemukan tiga ekor burung masing-masing dua dipercayai spesies bayan puling, manakala seekor lagi murai batu.


“Burung-burung terbabit merupakan spesies dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Pemeriksaan mendapati pemiliknya tidak memiliki permit memelihara burung terbabit daripada Perhilitan,” katanya di sini hari ini.

Zulafendi berkata, hasil soal siasat, seorang wanita berusia 41 tahun mengaku burung-burung tersebut dibela suaminya.

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Tindakan memiliki, menyimpan atau memperdagangkan hidupan liar tanpa kebenaran merupakan kesalahan serius,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Bantuan STR bantu ringan bebanan kewangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NORFARHIZA MOHD ATAR

RAUB – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 melahirkan rasa syukur apabila bantuan tunai kerajaan mula dikreditkan ke dalam akaun masing-masing hari ini, sekali gus membantu meringankan beban kewangan terutama golongan ibu tunggal.

Seorang penerima, Rasidah Mohd. Idris, 60, dari Felda Tersang 3 berkata, bantuan yang diterima amat bermakna buatnya dalam meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak.

“Saya bersyukur kerana masih menerima bantuan kerajaan. Hari ini RM300 STR telah dikreditkan ke dalam akaun saya dan selain itu, saya turut menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100.


“Arwah suami meninggal dunia pada tahun 2016 dan sejak itu saya menyara tujuh anak hasil daripada pendapatan ladang kelapa sawit,” katanya di sini hari ini.

Katanya, seorang daripada anaknya masih menuntut di tingkatan lima dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

“Sebahagian daripada wang STR ini saya bercadang untuk digunakan bagi keperluan pembelajaran anak, termasuk bayaran kelas tambahan dan kelengkapan sekolah. Baki selebihnya pula untuk perbelanjaan harian membeli keperluan asas,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Fatimah Ahmad, 45, dari Kuala Lipis, turut bersyukur apabila menerima bantuan STR berjumlah RM300 serta bantuan SARA sebanyak RM100.

Menurutnya, walaupun ada yang beranggapan nilai bantuan tersebut kecil, namun ia cukup besar dan bermakna bagi golongan kurang berkemampuan.

Di Kuala Terengganu, seorang penjaja makanan, Esan Mustaffa Muda, 47, berkata, dia akan menggunakan STR fasa satu sebanyak RM400 untuk persiapan tiga anaknya berusia 8 hingga 16 tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya akan simpan sumbangan tunai ini untuk membeli baju raya anak-anak. Ikutkan saya tiada bajet lebihan sebab banyak telah digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah anak baru-baru ini.

“Mujur kerajaan beri STR tepat pada masanya. Tambah STR one-off (sekali bayar) keseluruhan RM200 yang akan saya dan isteri terima bulan depan, bolehlah kami siapkan persiapan raya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dia juga bersyukur apabila sebahagian belanja dapur keluarganya dapat ditampung dengan menggunakan bantuan Sara RM100 yang diterima setiap bulan. – KOSMO! ONLINE

Produksi drama perlu patuhi garis panduan Jakim

KUALA TERENGGANU – Produksi drama dan filem tempatan diseru mematuhi  Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak tahun 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar berkata, Jakim terus memainkan peranan proaktif membantu Kementerian Komunikasi mengambil tindakan terhadap mana-mana penerbitan yang melanggar garis panduan ditetapkan. 

"Tanggungjawab Jakim mendidik dan mengeluarkan garis panduan untuk diikuti produksi (drama dan filem). 

"Jakim sentiasa berhubungan dengan Kementerian Komunikasi kalau berlakunya perlanggaran garis panduan tersebut," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penjenamaan semula Hotel The Grand Puteri di sini semalam. 

Beliau mengulas rungutan orang ramai dengan penyiaran beberapa drama pada bulan Ramadan yang menayangkan adegan keterlaluan yang dianggap tidak sesuai dan sensitif dengan kesucian bulan puasa. 

Mohd. Na'im berkata, tindakan awal telah diambil dengan memanggil penerbit drama Bidaah yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, masyarakat juga boleh membantu penguatkuasaan dengan membuat aduan rasmi terhadap drama atau filem yang bertentangan adab dan ajaran agama Islam kepada Kementerian Komunikasi. 

"Pihak yang menghasilkan drama yang bertentangan, Jakim akan mengambil tanggungjawab menasihati. Kalau berlaku pelanggaran undang-undang, kita serah kepada pihak berkuasa," katanya. 


Peperiksaan tahun empat ukur kemampuan murid

PETALING JAYA – Ibu bapa menyokong ujian penilaian atau peperiksaan yang akan diperkenalkan untuk murid tahun empat sekolah rendah bermula tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Rata-rata menyifatkan pengumuman itu dapat mengukur sejauh mana kemampuan murid-murid sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Di Pontian, Johor, seorang bapa, Rohaizad Abdul Rashid, 45, berkata, dia menyokong pelaksanaan matriks pembelajaran bagi anaknya Nur Shattila, 10, yang kini berada di tahun empat pada tahun ini.


Katanya, sebagai bapa, dia ingin anaknya melangkah ke tingkatan satu dengan cukup persediaan dan mampu menguasi perkara-perkara utama agar mampu mengikuti pelajaran dengan baik.

“Kita menaruh keyakinan pelaksanaan matrik pembelajaran telah melalui kajian yang mendalam bagi mengukur sejauh mana kemampuan murid-murid sebelum melangkah ke sekolah menengah nanti,” katanya.

Di Kota Tinggi, Johor, seorang ibu, Siti Hadijah Sumiri, 38, berkata, pelaksanaan peperiksaan itu adalah wajar kerana mampu memberi gambaran awal terhadap pencapaian anak-anak di sekolah.

“Saya setuju dengan peperiksaan darjah empat memang ada kebaikannya kerana kita boleh tahu tahap anak kita setakat mana.

“Peperiksaan melibatkan empat subjek teras sudah memadai sebagai penanda aras awal keupayaan murid.

“Sekurang-kurangnya bermula darjah empat lagi kita sudah boleh kesan subjek mana anak lemah dan boleh ambil tindakan awal sama ada beri bimbingan tambahan atau sokongan di rumah,” katanya.

Di Kuala Terengganu, Norhaspida Yatim, 40, pula menyifatkan perkara itu dibuat bagi memastikan semua murid menguasai asas pembelajaran sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Katanya, peperiksaan tersebut akan menjadi penunjuk aras kepada anak perempuannya yang kini berada di tahun empat.

“Walaupun agak mengejut, saya tidak menganggap peperiksaan ini sebagai beban kepada anak saya dan murid tahun empat lain.

“Sebaliknya ia sekadar memastikan tahap penguasaan asas membaca, mengira dan berfikir agar lebih bersedia memasuki alam sekolah menengah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Hakisan berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dibaiki

KUALA TERENGGANU – Hakisan teruk disebabkan fenomena air pasang besar yang berlaku berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini pada musim tengkujuh lalu akan mula dibaiki pada minggu depan. 

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, projek pembaikan hakisan yang memusnahkan sebahagian tebing muara Sungai Terengganu itu menelan belanja kira-kira RM1 juta. 

“Persediaan jentera dan penghantaran bongkah batu dan pasir sudah dimulakan. Kerja-kerja pembaikan dijangka dimulakan minggu depan. 

“Ia dijangka siap sepenuhnya pada awal bulan Ogos depan,” katanya di sini semalam. 

Osman berkata, masalah hakisan disebabkan fenomena air pasang besar dan ombak kuat pada musim tengkujuh terbabit telah menjejaskan kira-kira 80 meter tebing muara Sungai Terengganu berkenaan.

 Begitupun, beliau memberi jaminan fenomena alam terbabit tidak menjejaskan langsung struktur Jambatan Angkat Kuala Terengganu berhampiran. 

“Ia kali kedua kawasan sama mengalami masalah hakisan disebabkan fenomena ombak besar dan air pasang besar dalam tempoh dua tahun. 

“Sewaktu pertama kali berlaku pada tahun 2023, kerosakan telah diperbaiki melibatkan kos RM50,000,” katanya.