Translate

Friday, July 9, 2021

Terengganu benar solat jemaah ikut keluasan masjid, surau

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Solat jumaat dan fardu berjemaah dibenarkan kembali dilaksanakan mengikut keluasan masjid dan surau di Terengganu yang kini memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negera (PPN).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin juga telah memperkenan pelaksanaan solat sunat Aidiladha mengikut keluasan masjid dan surau terlibat.

“Solat jumaat, solat fardu berjemaah dan solat sunat Aidiladha tersebut perlu dilaksana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Jemaah perlulah terdiri daripada warga tempatan yang merupakan ahli kariah di masjid dan surau masing-masing. Solat sunat Aidiladha pula hanya melibatkan jemaah lelaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Osman berkata, Sultan Mizan turut menitahkan agar imam membacakan qunut nazilah semasa solat Jumaat.

Tambah beliau, solat sunat hajat memohon perlindungan daripada wabak Covid-19 juga akan dilaksanakan di masjid selepas solat Jumaat dan solat Maghrib berjemaah.

“Selain itu, surah Yassin juga akan dibacakan di semua masjid dan surau di negeri ini selepas selesai solat Maghrib berjemaah.

“Begitupun aktiviti keagamaan dan sosial lain masih belum dibenarkan di masjid dan surau terbabit,” katanya. – K! ONLINE


No comments:

Post a Comment