Translate

Tuesday, July 6, 2021

Perbanyak program outreach atasi ketiadaan PPV

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pendekatan program Outreach Vaksinasi Covid-19 akan diambil bagi mengatasi ketiadaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang terletak di pedalaman Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, sebelum ini, pihaknya menerima banyak rungutan daripada lebih 70,000 penduduk yang mengalami kesulitan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana PPV terdekat terletak kira-kira 90 kilometer dari penempatan mereka.

“Sepatutnya ada lima PPV yang dicadang dibuka di wilayah Ketengah tetapi masih dalam proses. Kita mencadangkan lebih banyak program outreach diadakan sebagai alternatif.

“Kita dapati program outreach lebih praktikal dan mengatasi masalah penduduk yang mungkin tiada pengangkutan. Kita masuk ke kampung-kampung dan berjumpa sendiri penerima yang layak,” katanya ketika ditemui di pejabat Ketengah Holdings di sini hari ini.

Razali berkata, Ketengah telah menyediakan 17 lokasi bagi program Outreach Vaksinasi Covid-19 di sekitar wilayahnya dan cadangan itu secara dasarnya telah dipersetujui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Beliau berkata, program sulung outreach anjuran Ketengah yang diadakan pada minggu lalu berjaya memberi vaksin kepada 7,000 penduduk.

“Kita juga ambil inisiatif menubuhkan Skuad Ambil Cakna yang telah berjaya mendaftarkan 28,000 penduduk untuk Program Imunisasi Covid-19 (PICK) setakat ini,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment