Translate

Tuesday, July 6, 2021

Dua lelaki seludup rokok RM120,000 diberkas

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penemuan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dengan ketiadaan tempat duduk belakang semalam membongkar aktiviti penyeludupan rokok yang dipercayai didalangi dua lelaki.

Dua premis yang diserbu di Tok Jembal dan Taman Desa Jaya, Kuala Nerus di sini berjaya menemui rokok dipercayai diseludup bernilai RM120,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an ditahan semasa memandu kereta jenis Honda dan Mitsubishi di Kubang Parit di sini pada pukul 4.30 pagi.

“Mereka memandu kereta dalam keadaan mencurigakan dengan kereta Honda didapati telah diubah suai dengan tempat duduk penumpang belakangnya dibuang.

“Kita percaya ia dibuat bagi melakukan aktiviti menyalahi undang-undang. Selain itu pemeriksaan turut menemui beberapa kunci yang mencurigakan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Marzukhi berkata, soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan di dua premis yang berjaya menemui 60 kotak mengandungi ribuan karton rokok.

Siasatan awal percaya rokok-rokok itu diseludup untuk pasaran tempatan.

Suspek yang mempunyai rekod jenayah direman selama 12 hari sehingga 16 Julai ini.

“Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment