Translate

Sunday, July 18, 2021

Orang muda terdedah kepada salur darah pecah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kebanyakan kes pembuluh darah dalam otak pecah adalah golo­ngan yang berusia 50 tahun ke atas dan majoriti pesakit pula mempunyai rekod penyakit diabetes atau tekanan darah tinggi.

 Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, golongan muda turut mengalami serangan berbahaya itu ekoran perubahan gaya hidup yang terlalu sibuk sehingga mereka mengalami tekanan yang me­lampau serta kemurungan. 

Pakar saraf terkemuka negara, Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, ramai golongan muda tidak menyedari mereka sebenarnya mempunyai simptom-simptom penyakit yang berisiko menyebabkan  pembuluh darah dalam otak pecah sekali gus boleh membawa kematian.

Menurutnya, penyakit itu ialah Arteriovenous Malformation (AVM) dan aneurisma yang menyebabkan salur darah bergumpal dan dinding salur darah tidak sekata.

“Dua penyakit ini telah melemahkan fungsi saluran darah sehingga berisiko tinggi untuk pecah sekiranya berlaku tindakan balas disebabkan tekanan darah tinggi atau stres yang melampau,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Semalam.

Beliau memberitahu, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Ketua Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 20 tahun lalu, kebanyakan kes pembuluh darah pecah hanya melibatkan individu berusia 50 tahun ke atas.

Katanya, majoriti pesakit pula mempunyai rekod penyakit diabetes atau tekanan darah tinggi.

“Bagaimanapun, mungkin zaman sudah berubah, ia kini banyak dikesan dalam kalangan remaja sejak kebelakangan ini,” ujarnya.

Ahmad Zubaidi berkata, selain kegagalan mengesan penyakit AVM dan aneurisma pada peringkat awal, faktor pemakanan, stres melampau dan gaya hidup kurang sihat juga menjadi punca peningkatan kes-kes salur darah pecah dalam kalangan golongan muda.

Ujarnya, kesibukan belajar serta leka bermain permainan online sehingga menurunkan kualiti tidur boleh menghasilkan rembesan hormon yang menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung.

"Kadar denyutan jantung yang kencang akan meningkatkan tekanan darah sekali gus berisiko memecahkan saluran darah dalam otak.

"Selain itu, penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi disebabkan pemakanan tidak sihat yang tinggi kandungan kolesterol, gula dan glisemik (kanji sukar dihadam) turut menyumbang kepada kes tersebut," katanya. 

Bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tersebut berkata, ramai golongan muda bukan sahaja tidak sedar mereka menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi, malah simptom awal penyakit AVM dan aneurisma iaitu sakit kepala.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Profesor Neurosurgeri UniSZA menerangkan, gejala sakit kepala ialah rasa berdenyut yang amat sangat pada bahagian kepala selain kadangkala boleh menyebabkan rasa loya dan muntah.

"Ia berbeza dengan simptom pening kepala yang sekadar rasa berpinar dan berpusing-pusing.

"Saya menasihatkan individu yang mengalami gejala sakit kepala agar segera dibawa ke hospital dalam tempoh kurang 24 jam bagi pemeriksaan lanjut.

"Masalahnya, masyarakat kita sering meremehkan simptom sakit kepala dan hanya merujuk ke hospital apabila sudah berminggu-minggu menahan sakit," katanya.

No comments:

Post a Comment