Translate

Sunday, July 4, 2021

Capai kadar vaksinasi 10 peratus dua minggu lagi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan optimis dapat mencapai 10 peratus kadar vaksinasi Covid-19 di seluruh negara sekali gus menetapi kriteria penting untuk melangkah ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim berkata, setakat ini, Perlis dan Wilayah Persekutuan telah melepasi kadar 10 peratus rakyatnya telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

“Bagi negeri-negeri lain pula, secara puratanya telah mencapai 7.5 peratus. Berdasarkan kadar suntikan harian (vaksin Covid-19) yang tinggi pada sekarang ini, kita boleh capai 10 peratus peringkat nasional dalam tempoh dua minggu.

“Ia disebabkan kita telah berjaya melakukan lebih 260,000 suntikan vaksin Covid-19 sehari pada waktu ini dan bakal meningkat kepada 400,000 (sehari) menjelang akhir bulan ini,” katanya selepas memantau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di Sekolah Menengah Kebangsaan Imtiaz Kuala Terengganu di sini semalam.

Ahmad Amzad berkata, sasaran itu berikutan penerimaan bekalan vaksin Covid-19 yang tinggi termasuk sumbangan kerajaan Jepun, Amerika Syarikat dan China yang telah dan bakal tiba secara berperingkat sehingga bulan September depan.

Beliau berkata, bekalan yang mencukupi tersebut juga membolehkan tempoh masa pemberian dos kedua dipercepatkan seperti vaksin Astrazeneca seawal sembilan minggu berbanding 12 minggu sebelum ini.

“Tumpuan juga diberikan di negeri-negeri yang mempunyai kes harian Covid-19 tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment