Translate

Thursday, July 15, 2021

Peniaga warga emas didakwa aniaya pembantu rumah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperkosa dan menggaji tanpa permit pembantu rumahnya, seorang wanita Indonesia sejak lima bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 64 tahun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol mangsa berusia 37 tahun di sebuah rumah di Dungun antara pukul 5 pagi dan 2 petang antara 1 Februari hingga 13 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Kesekssaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa menggaji wanita warga Indonesia itu untuk bekerja di rumahnya tanpa permit sah pada lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Nooriah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM14,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 23 Ogos depan.

Beliau juga melarang lelaki itu daripada mengganggu mangsa dan diarahkan melapor diri di Balai Polis Dungun pada setiap 1 dan 15 hari bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Shahir Mat Jusoh. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment