Translate

Saturday, July 10, 2021

Syukur terima tablet percuma untuk PdPR

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pemberian sebuah tablet oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) amat bererti buat seorang remaja perempuan yang memudahkannya menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Nur Izzah Insyirah Kamarul Zaman, 15, yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara di sini memberitahu sebelum ini dia dan dua adiknya berkongsi sebuah peranti telekomunikasi untuk belajar.

“Kami bergilir-gilir menggunakan telefon pintar itu untuk belajar. Kadang-kala kerja sekolah lambat disiapkan kerana memberi ruang kepada adik-adik saya yang berada di tingkatan dua dan darjah lima terlebih dahulu.

“Pemberian tablet baharu ini amat menggembirakan sekurang-kurangkan ia dapat melancarkan sesi PdPR kami tiga beradik,” katanya ketika ditemui selepas menerima tablet berkenaan di Pejabat Pendidikan Daerah Marang di sini hari ini.

Nur Izzah Insyirah yang menetap di Kampung Kinjing di sini turut menerima wang tunai RM50 bagi pembelian kad sim dan tambah nilai oleh Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris.

Sementara itu, Razali berkata, pengagihan tablet dan wang tunai RM50 bagi pembelian tablet itu merupakan program taggungjawab sosial korporat Ketengah untuk kebajikan rakyat.

Beliau berkata, sebanyak 900 tablet telah diagihkan kepada pelajar dalam kalangan kurang berkemampuan (B40) dan sederhana (M40) di seluruh Terengganu.

“Pengagihannya ialah 70 peratus kepada pelajar yang berada di wilayah Ketengah iaitu pedalaman Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu manakala selebihnya kawasan lain di seluruh negeri ini,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment