Keadaan itu kemungkinan disebabkan larangan pergerakan merentas negeri menggunakan surat yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula semalam hingga Rabu ini oleh pihak Polis Diraja Malaysia.
Suasana terutama di Plaza Tol Gombak, Selangor, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) yang lazimnya sesak setiap kali musim perayaan tidak lagi berlaku.
Tinjauan Kosmo! di beberapa negeri juga mendapati bilangan kenderaan di jalan raya berkurangan berbanding semalam dan hari-hari sebelumnya.
Di Kelantan, jumlah kenderaan yang memasuki Gua Musang yang merupakan sempadan negeri itu berkurangan dan kehadiran kenderaan yang minimum di jalan raya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya mengetatkan kawalan di sempadan dan menjalankan pemeriksaan secara teliti ke atas 1,230 buah kenderaan yang melalui di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Putih dan Kampung Kundur.
“Kebanyakan mereka yang melepasi sekatan ini mempunyai surat kebenaran PDRM bagi tujuan kecemasan, pasangan jarak jauh dan kenderaan perdagangan.
“Dua kenderaan telah diarahkan supaya berpatah balik pagi ini (semalam) dan satu kompaun juga dikeluarkan kerana tiada permit rentas negeri,” katanya.
Di Pahang, aliran trafik keluar masuk kenderaan di negeri itu terkawal dan tidak berlaku pertambahan kenderaan yang luar biasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh memberitahu, keadaan lalu lintas di semua SJR juga didilaporkan seperti biasa sama dengan sebelum ini.
“Aliran keluar masuk seperti biasa cuma ada yang mengatakan berlaku kesesakan mungkin disebabkan pemeriksaan teliti di SJR Plaza Tol Bentong,” katanya.
Di Johor pula, tinjauan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Kulai menghala ke Johor Bahru mendapati tiada kesesakan di kedua-dua arah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima arahan supaya penguatkuasaan di SJR dipertingkatkan terutamanya di plaza tol dan sempadan daerah.
“Jumlah SJR sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebanyak 69 melibatkan seramai 1,125 petugas semua agensi,” katanya.
Keadaan sama dilaporkan di Sungai Petani, Kedah apabila tiada pertambahan kenderaan luar biasa berlaku di Plaza Tol Sungai Petani Selatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, secara purata pihaknya memeriksa 7,000 hingga 10,000 kenderaan sehari.
“Antara alasan yang dikemukakan adalah merentas untuk ke tempat kerja melibatkan sektor perkhidmatan perlu,” jelasnya.
Di Terengganu, tinjauan di SJR Perasing yang merupakan pintu masuk utama negeri itu dari Pantai Barat mendapati kenderaan yang melalui kawasan itu boleh dibilang dengan jari.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa mengesahkan kemasukan kenderaan ke negeri itu berkurangan berikutan prosedur ketat merentas negeri yang ditetapkan oleh kerajaan.
No comments:
Post a Comment