Translate

Wednesday, July 28, 2021

Mohon tambahan klinik kesihatan di wilayah Ketengah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memohon Kementerian Kesihatan agar membina sekurang-kurangnya sebuah lagi klinik kesihatan Malaysia (KKM) untuk manfaat hampir 100,000 penduduk di wilayahnya terutama di Hulu Dungun dekat sini.

Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, buat masa ini, penduduk wilayah berkenaan hanya mempunyai satu kemudahan kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Bukit Besi dekat sini.

“Sebahagian besar penduduk terutama yang menetap di Hulu Dungun memerlukan perjalanan sekurang-kurangnya 20 kilometer untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Besi.

“Saya tersentuh dengan kejadian seorang budak lelaki berusia 11 tahun disengat tebuan yang meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Bukit Besi dari rumahnya di Kampung Minda, Hulu Dungun pada pertengahan bulan ini. Nyawanya mungkin dapat diselamatkan jika menerima rawatan awal,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Razali berkata, Hospital Dungun yang merupakan kemudahan perubatan utama di daerah ini pula lebih jauh kedudukannya dari wilayah Ketengah iaitu kira-kira 45 kilometer.

Kosmo! 18 Julai lalu melaporkan Rayyan Fitri Mohd. Nazuki, 11, disengat seekor tebuan sewaktu sedang bermain telefon bimbit di dalam bilik di rumahnya di Kampung Minda.

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Minda Talong itu yang dalam keadaan lemah akibat sengatan pada tangan kakannya telah dikejarkan untuk menerima rawatan sebelum disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Bukit Besi. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment