Translate

Monday, July 19, 2021

Maltrac UMT ditauliah pusat latihan SLDN

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) muncul universiti awam pertama di negara ini yang memiliki pusat latihan Sistem Latihan Dual National (SLDN) sendiri.

Pusat Pengangkutan dan Logistik Maritim (Maltrac) UMT yang merupakan pusat penyimpanan data logistik dan pengangkutan kebangsaan telah ditauliah sebagai pusat latihan SLDN baru-baru ini.

Pengurus Pusat Bertauliah SLDN Maltrac, Dr. Izyan Munirah Mohd. Zaideen berkata, pusat itu mula menerima pelatih bagi program perantis SLDN dengan kerjasama syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. pada awal bulan ini.

“Seramai 25 pelatih terlibat dalam program perantis berkenaan bagi modul Perancangan Operasi Pelabuhan yang dikendalikan pengajar bertauliah SLDN, Dr. Jagan Jeevan.

“Ia sejajar dengan kedudukan Maltrac sebagai pusat rujukan untuk penyelidikan dan pendidikan dalam bidang logistik dan pengangkutan,” katanya di sini hari ini.

Izyan Munirah berkata, pusat latihan SLDN Maltrac tersebut telah membuka peluang kerjaya kepada belia yang ingin menceburi bidang maritim.

Beliau berkata, program SLDN tersebut mampu memberi manfaat besar melalui penawaran tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pelabuhan dan perkapalan.

“Ia bertepatan dengan matlamat SLDN kelolaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk memberi latihan kepada tenaga mahir di negara ini bagi mengasah kembali dan meningkatkan kemahiran mereka,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment