HULU TERENGGANU – Seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman bikin kecoh memecut kereta Honda City tanpa mengenakan seurat benang sejauh kira-kira 43 kilometer dari Bukit Jong, Kuala Nerus hingga Kampung Batu 18, Kuala Berang di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, buruh berusia 45 tahun terbabit merempuh tiga sekatan jalan raya (SJR) dan 13 lampu isyarat serta melanggar tiga motosikal sehingga menyebabkan salah seorang penunggangnya cedera parah.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, suspek yang memandu kereta Honda City berwarna biru pada mulanya merempuh SJR Bukit Jong, Kuala Nerus sebelum memecut laju kenderaannya menghala ke Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
“Sebuah kereta peronda polis yang menerima maklumat tentang kejadian itu telah mengejar kereta suspek tetapi dia terus memecut laju melanggar beberapa lampu isyarat menghala ke Jalan Kuala Berang, Kuala Terengganu.
“Tanpa memperdulikan arahan polis memintanya berhenti dengan menggunakan pembesar suara, dia tetap memecut sehingga melanggar sebuah kereta dan motosikal masing-masing di Kubang Parit dan Pengadang Baru, Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, lelaki itu terus memecut keretanya tanpa berhenti di SJR Wakaf Dua, Bukit Payong, Marang sebelum melanggar beberapa lampu isyarat lagi hingga ke Wakaf Tapai, Marang. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment