Translate

Friday, July 9, 2021

Liputan telekomunikasi wilayah Ketengah lemah, ganggu PdPR

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memohon agar liputan telekomunikasi di kawasan wilayahnya di pedalaman Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu dapat dipertingkatkan.

Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya menerima rungutan hampir 40 peratus murid dan pelajar di wilayahnya sukar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ekoran liputan telekomunikasi yang terlalu lemah tersebut.

“Ramai ibu bapa merungut liputan internet tidak stabil di rumah masing-masing menyebabkan sesi PdPR anak-anak mereka sering terganggu.

“Kawasan yang paling terjejas ialah di pedalaman Kemaman dan Dungun seperti Kampung Pasir Raja, Kampung Talong dan Kampung Minda. Jangan sampai anak-anak kena panjat pokok dan bukit semata-mata untuk mendapat liputan Internet,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menyampaikan tablet untuk PdPR kepada pelajar di Pejabat Pendidikan Daerah Marang.

Razali berkata, masalah liputan telekomunikasi lemah itu secara tidak langsung akan menjejaskan usaha Ketengah untuk membantu melancarkan sesi PdPR pelajar di negeri ini.

Ujar beliau, tiada guna Ketengah membekalkan tablet secara percuma kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan (B40) dan sederhana (M40) terlibat jika ia tidak dapat dimanfaatkan ekoran isu tersebut. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment