Translate

Sunday, July 4, 2021

Kibar bendera putih dialukan asalkan bukan motif politik

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Kempen mengibar bendera putih dianggap mekanisme baharu yang dapat membantu mempercepatkan lagi pengagihan bantuan kepada golongan memerlukan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau secara peribadi mengalu-alukan kempen tersebut sebagai inisiatif membantu golongan yang kesempitan dan terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Begitupun, beliau berharap pengibaran bendera putih itu tidak dipolitikkan sehingga dianggap pula sebagai simbol anti kerajaan.

“Saya mendapat maklumat (pengibaran bendera putih) di beberapa tempat seperti Pulau Pinang dan Taman Tun (Dr. Ismail, Kuala Lumpur).

“Kalau itu sebagai usaha untuk mendapatkan bantuan, kita alu-alukan namun ada yang dakwa, ini usaha menunjukkan anti kerajaan. Ia tidak wajar,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Bank Makanan di Dewan Orang Ramai Pasir Raja dekat sini hari ini.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian daripada 23 syarikat dan badan korporat terbabit akan disalurkan kepada 292 keluarga kurang berkemampuan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 di sekitar Hulu Dungun.

Sehubungan itu, Rosol berharap tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan menangguk di air keruh sewaktu kerajaan sedang bertungkus-lumus menangani situasi pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, beliau memberitahu program Bank Makanan yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi telah diperluaskan kepada golongan terkesan dengan pandemik Covid-19. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment