Translate

Monday, July 19, 2021

Azizulhasni, Nor Azimi dikurnia gelaran Datuk

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan untuk mengurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada jaguh berbasikal negara, Mohammad Azizulhasni Awang.

Mohammad Azizulhasni yang merupakan sandaran negara untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo yang membuka tirainya minggu depan dianugerahi Darjah Kebesaran Dato Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T.)

Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Datuk Isa @Ghazali Endut berkata, baginda turut berkenan menganugerahkan darjah kebesaran sama kepada sembilan individu lain termasuk Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus.

“Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dikurnia Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

“Individu lain yang dianugerahi (D.P.M.T.) ialah Pakar Perunding Perubatan Jabatan Perubatan, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Ahmad Kashfi Ab. Rahman; Pakar Perunding Anesthesiologi & Intensivist, Jabatan Anesthesiologi & Unit Rawatan Rapi HSNZ, Dr. Mohd. Ridhwan Mohd. Noor; Timbalan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Kasemani Embong dan Ketua Bilik CPRC Covid-19 Terengganu, Dr. Hasnan Arwit @ Hassan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isa berkata, D.P.M.T. turut dianugerahkan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Azri Sani Mazian; Pengerusi Eksekutif Hours Intertrade (M) Sdn. Bhd., Md. Nor Ismail; Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, Mohamad Zahari Harun dan Pengarah Urusan Arup Jururunding Sdn. Bhd., Wan Anuar Wan Endut.

Beliau berkata, Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.M.T.) kepada Pakar Patologi HSNZ, Dr. Fatimah Haslina Abdullah; Ketua Bilik CPRC Terengganu, Dr. Azmani Wahab; Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Terengganu, Dr. Saifur Rahman Muhammad dan Pengarah Hospital Hulu Terengganu, Dr. Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani.

“Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu bagi tahun 2021 berkuatkuasa 18 Julai (hari ini).

“Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu tersebut akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment