Translate

Friday, July 16, 2021

Ini masanya tubuh RCI Muhammad Adib

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan diminta agar segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang berlaku pada tiga tahun lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penubuhan RCI tersebut telah lama dinantikan rakyat negara ini yang mahu keadilan buat Muhammad Adib kerana diperlakukan secara kejam sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018.

“Saya berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memainkan peranan menubuhkan RCI ke atas isu-isu berbangkit berhubung Tabung Haji hasil pengauditan perunding-perunding dari tahun 2014 hingga 2020.

“Satu lagi RCI yang sudah tertangguh begitu lama perlu ditubuhkan bagi menyiasat kematian Muhammad Adib bagi keadilan arwah dan menjawab persoalan yang terbuku lama dalam hati kebanyakan rakyat negara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad berkata, RCI yang mampu mengheret dalang menyebabkan kematian Muhammad Adib, 24, ke muka pengadilan tersebut tidak sepatutnya terus dipandang sepi oleh kerajaan.

Ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO tersebut, sebelum ini, kerajaan pernah menubuhkan RCI bagi menyiasat kes Teoh Beng Hock yang ditemui mati akibat terjatuh dari tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

“Kes Muhammad Adib ini lagi jelas kerana melibatkan kematian anggota bomba yang tidak berdosa, diserang ketika sedang menjalankan tugas sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan PenyelamaT Subang Jaya parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment