Translate

Friday, July 16, 2021

Ambil apabila perlu, sumbang jika mampu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SALAH satu sisi positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah berlarutan hampir 16 bulan ini ialah penyuburan budaya bersedekah dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai pendekatan diambil untuk meringankan beban golo­ngan susah pada musim pandemik ini termasuklah dengan memperkenalkan Gerobok Rezeki.

Ia merupakan inisiatif murni dengan meletakkan pelbagai barangan keperluan seperti beras, gula, tepung gandum, makanan dalam tin dan telur ayam untuk diambil oleh keluarga susah.

Konsep sebegini secara tidak langsung memudahkan budaya bersedekah dalam kalangan ma­syarakat.

Gerobok Rezeki semakin su­bur dengan penglibatannya tidak terhad dalam kalangan agensi kerajaan, badan korporat, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rumah ibadat termasuk orang perseorangan.

Begitupun, sejak kebelaka­ngan ini, kita kerap mende­ngar berita kurang sedap te­ntang si­kap segelintir pihak yang me­ng­ambil kesempatan daripada Ge­robok Rezeki.

Tular di media sosial tentang perilaku segelintir pihak yang bukan sahaja tidak mematuhi penjarakan fizikal, malah sanggup bergaduh demi merebut bara­ngan keperluan yang disediakan.

Itu tidak termasuk mereka yang tidak jujur mengambil barangan percuma, biarpun bukan keperluan selain bersikap tamak mengaut sebanyak mungkin barangan yang disediakan.

Mengulas isu tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menasihati semua pihak agar kembali kepa­da prinsip asal Gerobok Rezeki itu sendiri.

“Gerobok Rezeki didirikan de­ngan prinsip ‘sumbang apabila mampu, ambil apabila perlu. Jangan kita mementingkan diri, mengambil tanpa memikirkan orang lain.

“Saya akui Gerobok Prihatin yang dilancarkan di masjid-ma­s­jid di Parlimen Hulu Terengganu juga tidak terlepas daripada masalah itu,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Rosol berkata, beliau pernah menerima aduan daripada pe­ngurusan sebuah masjid tentang gelagat individu yang memandu kenderaan mewah, tetapi tanpa segan silu mengambil barangan keperluan di rak ge­robok.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, isu tersebut telah diselesaikan secara berhemah setelah individu terbabit dikenal pasti menerusi rakaman televisyen tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

“Bagi saya, anggaplah ia kes-kes terpencil yang tidak sesekali dapat mengatasi kebaikan konsep Gerobok Rezeki itu sendiri.

“Yang penting, pihak penganjur perlu memperkemaskan mekanisme bagi mengatasi kekura­ngan yang ada,” katanya.

Sementara itu, Masjid Kampung Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Terengganu mengambil pendekatan menyediakan bilik khas bagi Gerobok Rezeki terbabit.

Pengerusinya, Mohd. Sidek Abdullah berkata, bilik khas menyimpan barang keperluan itu dijaga oleh sekurang-kurangnya seorang ahli jawatankuasa.

“Kita hanya mengedarkan barang keperluan untuk golo­ngan memerlukan selepas selesai se­tiap solat fardu.

“Kita juga akan rekod butiran si penerima bagi menjamin kete­lusan sekali gus mengelak pertindihan pemberian barangan ke­pada individu sama,” katanya.

Mohd. Sidek berkata, sebahagian penerima juga dibantu untuk mendapatkan bantuan daripada agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

No comments:

Post a Comment