KUALA NERUS – Kesukaran seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) yang kini sedang menjalani latihan praktikal untuk bergerak mendorong Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini untuk menghadiahkannya sebuah kerusi roda elektrik.
Normelisa Mohd. Yadi, 23, yang menghidap Spastic Hemiplegia atau masalah lemah anggota kaki dan tangan sebelum ini memerlukan bantuan individu lain untuk menolak kerusi roda biasa bagi memudahkan urusannya.
“Sebelum ini, pengurusan UniSZA menyediakan perkhidmatan pembantu mahasiswa untuk membantu memudahkan pergerakan saya seperti menghadiri kuliah dan menjalani kehidupan di kampus.
“Begitupun, saya kini menjalani latihan industri bersendirian tanpa rakan siswa. Syukur dan terima kasih kerana bantuan kerusi roda elektrik ini yang pasti akan memudahkan pergerakan saya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu dia yang ditemani ayahnya, Mohd. Yadi Taib menerima sumbangan tersebut daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniSZA, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh.
Normelisa yang merupakan pelajar jurusan Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab memberitahu sedang menjalani latihan industri di Arabic Language and Consultancy, yang terletak di Kota Bharu, Kelantan sejak 3 Julai lalu.
Gadis yang berasal dari Kampung Losong, Kuala Terengganu tersebit amat terhutang budi dengan pengurusan UniSZA yang mengambil berat kebajikan pelajar OKU sepertinya.
“Budi baik UniSZA ini menguatkan lagi azam saya azam saya untuk belajar bersungguh-sungguh sebelum menyambung pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah bagi memburu cita-cita sebagai pensyarah,” katanya.
Normelisa disahkan menghidap Spastic Hemiplegia yang menyebabkan kaki dan tangan kiri menjadi lemah sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda ketika berusia 11 tahun. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment