Translate

Tuesday, July 27, 2021

Empat bot nelayan Vietnam ditenggelam jadi tukun tiruan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Empat bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak oleh mahkamah ditenggelamkan oleh Maritim Malaysia (APMM) sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Rendang di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim APMM, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, sebelum ini, kesemua bot nelayan Vietnam itu telah ditahan di sekitar perairan Terengganu menerusi Ops Kuda Laut sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, keempat-empat bot itu yang mempunyai 53 kru telah ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali, KM Tegas dan KM Gemia.

“Setakat ini, sebanyak 13 bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak oleh mahkamah telah dilupuskan di sekitar perairan Terengganu sejak awal tahun ini.

“APMM menjangkakan baki 38 buah lagi bot nelayan Vietnam akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan menjelang akhir tahun ini,” katanya selepas menyaksikan penenggelaman empat bot itu di perairan Pulau Redang di sini hari ini.

Saiful Lizan berkata, APMM sudah melupuskan 108 bot nelayan Vietnam yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM162 juta sejak tahun 2010.

“Kesemua bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak oleh mahkamah atas kesalahan menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut secara haram telah ditenggelamkan di perairan Terengganu,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment