Translate

Saturday, July 3, 2021

Op Patuh: Kompaun bernilai RM27,000 dikeluarkan di Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak tujuh kompaun melibatkan nilai keseluruhan RM27,500 dikeluarkan sewaktu pemeriksaan di premis perniagaan dan kilang di seluruh Terengganu sempena Op Patuh semalam.

Pemeriksaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan itu melibatkan 389 premis perniagaan dan 52 kilang di seluruh negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, tujuh kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu dikeluarkan di Besut (tiga), Marang (dua) manakala masing-masing satu di Kemaman dan Dungun.

“Tiga kompaun yang dikeluarkan di Besut disebabkan kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat kerja dan dua kesalahan pekerja gagal mendaftar masuk ke kilang.

“Semua pihak terlibat yang melakukan kesalahan melanggar SOP PKP di sebuah kilang keropok itu masing-masing dikompaun RM1,500,” katanya di sini hari ini.

Noor Halim berkata, kompaun RM1,500 juga dikeluarkan di Marang ialah atas kesalahan gagal mendaftar masuk premis perniagaan mendaftar masuk dengan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Tambah beliau, majikan premis perniagaan terlibat juga dikompaun RM10,000 kerana gagal memastikan pekerjanya mendaftar masuk dengan menggunakan aplikasi berkenaan.

“Kesalahan pekerja gagal mengimbas butiran diri menggunakan aplikasi MySejahtera juga dikesan di sebuah premis perniagaan di Dungun dengan kompaun RM1,500 dikeluarkan.

“Sebuah kilang di Kemaman pula dikompaun RM10,000 kerana gagal melaksanakan penjarakan fizikal. Ini merupakan kesalahan kedua pengurusan kilang itu yang telah dikenakan tindakan sama pada 2 Jun lalu,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment