Oleh MOHD AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Seorang bekas pengetua sebuah sekolah menengah di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini hari ini atas lima pertuduhan mencabul tiga kakitangan wanitanya pada awal tahun ini.
Tertuduh berusia 53 tahun yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 35 tahun di dalam bilik makmal bistari sebuah sekolah menengah di daerah ini pada bulan Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat pula, lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang wanita berusia 33 tahun.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tiga lokasi berasingan di bilik stor, tangga koridor bilik seminar dan bilik guru sekolah terbabit pada tiga masa berlainan antara pukul 9 pagi hingga 3.30 petang sekitar bulan Januari lalu.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan kelima mencabul seorang wanita berusia 44 tahun di bilik guru sekolah tersebut antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, 16 Februari lalu.
Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Kosmo! 10 Mac lalu melaporkan tertuduh ditahan di rumahnya di Kuala Nerus selepas mangsa-mangsa mendakwa dicabul secara fizikal oleh lelaki itu di dalam kawasan sekolah. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment