KUALA TERENGGANU – Tiga kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengunjung Pasar Kedai Payang di sini pada minggu lalu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim memberitahu, begitupun pemeriksaan yang dilakukan terhadap semua 126 peniaga di kompleks perniagaan tersebut pada baru-baru ini adalah negatif.
“Saya cukup khuatir kerana Kuala Terengganu menerima kunjungan pelancong sangat luar biasa pada hujung tahun ini dengan Pasar Kedai Payang menjadi antara lokasi ‘wajib’ disinggahi.
“Saya telah menghubungi Pengarah Kesihatan Terengganu (Dr. Nor Azimi Yunus) bertanyakan status kes, alhamdulillah saringan terhadap 126 peniaga semuanya negatif,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya.
Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menasihatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada terutama apabila mengunjungi premis sesak seperti Pasar Kedai Payang.
Ujar beliau, prosedur operasi standard (SOP) norma bahari seperti pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan, mendaftar pada aplikasi MySejahtera atau buku rekod kemasukan perlu sentiasa diamalkan.
“Mereka yang kurang sihat, demam, batuk, selsema perlu mengelak ke kawasan sesak,” katanya.
Sementara itu, Nor Azimi mengesahkan tiada kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan bersasar kepada 126 peniaga di Pasar Kedai Payang.
“Beberapa kes positif Covid-19 mempunyai sejarah pernah mengunjungi Pasar Kedai Payang tetap hasil saringan terhadap peniaga adalah negatif.
“Risiko jangkitan amat kurang jika semua peniaga dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment