Translate

Tuesday, January 26, 2021

Pil kuda musnahkan mahligai bahagia

SEDIH hati Nora (bukan nama sebenar), 34, mendengar lagu Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali. Dengan perlahan dia berkata, bukan semua orang layak diberi peluang kedua.

Ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun mengungkapkan demikian berdasarkan pengalaman pedihnya bersama bekas suami yang pernah dikahwininya 15 tahun dahulu.

Ujarnya, dia nekad memohon fasakh pada empat tahun lalu setelah tidak tahan lagi dengan bekas suaminya yang semakin hanyut dengan najis dadah.
Nora bercerita, dia berkenalan dengan bekas suaminya sewaktu bekerja sebagai pembantu sebuah kedai makan berhampiran rumah keluarganya ketika berusia 18 tahun.

“Kebetulan kedai makan itu milik ibu saudara bekas suami saya dan hampir setiap hari dia akan mengunjunginya.

“Bermula dengan usik-mengusik, hati kami mula berpaut antara sama lain. Hubungan kami tidak lama selepas itu semakin serius apabila dia melamar saya,” ceritanya kepada K2 baru-baru ini.

Nora berkata, jiwanya yang sedang berbunga dilamun cinta remuk apabila baru mengetahui tunangnya sebenarnya seorang penagih dadah pada saat mereka terlalu hampir untuk disatukan.

Ujar wanita itu, walaupun luarannya bekas suami dilihat seorang lelaki segak yang mempunyai perniagaan sendiri, namun dia sebenarnya penagih tegar pil kuda.

“Sejurus tembelangnya terbongkar, bekas suami saya merayu dan berjanji untuk berubah selepas kami berumah tangga.

“Rasa sayang yang mendalam membuatkan saya percaya janjinya itu dan memberi peluang kedua. Kami selamat bergelar suami isteri tidak lama selepas itu,” katanya.

Nora memberitahu, mereka berpindah ke bandar lain dan membina rumah tangga bahagia dan suaminya benar-benar menunaikan janjinya meninggalkan najis dadah.

Begitupun, kebahagiaan Nora cuma sementara apabila mereka diuji dengan kematian anak sulung di dalam kandungan kira-kira setahun kemudian.

“Lantaran terlalu sedih dengan kehilangan ‘permata’ yang amat kami nanti-nantikan itu, dia kembali berjinak-jinak semula dengan pil kuda kononnya untuk meredakan tekanan.

“Perangainya mula berubah, bukan sahaja tidak menghiraukan saya, malah menjadi panas baran, mengambil duit serta menggadai barang kemas saya tanpa kebenaran. Kemuncaknya, dia tergamak menjatuhkan talak satu kepada saya,” ceritanya sambil mengalirkan air mata.

 Nora berkata, hatinya amat hancur bukan sahaja kepercayaan yang diberikan kepada bekas suaminya dikhianati, malah talak tersebut dilafazkan sewaktu dia benar-benar memerlukan suami di sisi setelah kehilangan anak.

Begitupun hatinya kembali lembut bagaikan tisu apabila suaminya kembali merayu untuk kembali kira-kira setahun kemudian.

“Sekali lagi saya memberi peluang kepadanya walaupun hati sudah ragu-ragu dan keluarga tidak berapa menggalakkan.

“Kami bina kembali rumah tangga, namun peluang itu bagaikan tidak dihargai apabila mengetahui dia masih tidak meninggalkan pil kuda yang bagaikan ‘isteri keduanya’,” katanya.

Tegas Nora, kali ini dia nekad memfailkan fasakh demi kebaikan diri dan anak lelakinya yang ketika itu baru dilahirkan.

Katanya, permohonan fasakh dibenarkan mahkamah rendah syariah sebelum membuat keputusan membawa anak tunggalnya berpindah ke rumah pusaka arwah datuknya.

“Walaupun rumah pusaka yang saya dan anak menumpang teduh ini agak uzur dan pendapatan saya sebagai pembantu gerai nasi bajet tidak seberapa, namun kami dua beranak bahagia.

“Bekas suami tidak pernah menghiraukan kami selepas penceraian. Dia juga tidak pernah memberi nafkah anak, biarlah. Janji hidup kami tidak diganggu,” katanya.

No comments:

Post a Comment