HULU TERENGGANU – Dua buruh binaan warga asing maut manakala lima rakan sekerja cedera setelah kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di jalan raya (maut) di Kilometer 420.6 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Telemong di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Satal Singh, 31, dan Mohammad Anirud, 32, yang masing-masing merupakan warga Nepal dan India meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd.Adli Mat Daud berkata, lima lagi mangsa iaitu Ambar Bahadur Budha, 27; Muhammad Umer Khalid, 33; Gheek Sagar, 23; Rishi Kumar, 41; Jagjivan Singh, 23; dan Jaspal Singh, 23, pula mengalami kecederaan.
Beliau berkata, kenderaan Perodua Alza yang dinaiki kesemua tujuh buruh binaan warga asing berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut yang dipandu Satal Singh dipercayai tiba-tiba hilang kawalan dipercayai akibat terlanggar lopak air.
“Ia menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahagian kiri lebuh raya,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, mayat Satal Singh dan Mohammad Anirud telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment