KUALA TERENGGANU – Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mogwli Malaysia’ kini mempunyai ‘kawan’ baharu, seekor burung hantu kuning.
Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini itu berkata, burung liar tersebut dijumpai ketika terbang rendah berhampiran bilik air rumahnya kira-kira seminggu lalu.
“Pada masa itu, kakak saya sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh sebelum terdengar bunyi pelik di luar rumah.
“Rupa-rupanya bunyi itu datang daripada seekor burung hantu.
“Sejak itu, haiwan liar tersebut jinak dengan keluarga terutama saya dan tidak pernah meninggalkan kawasan rumah kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Banggol Katong di sini semalam.
Burung hantu kuning atau nama saintifiknya, Ketupa Ketupu merupakan salah satu spesies burung yang terdapat di hutan tropika beberapa negara di Asia Tenggara, kepulauan Pasifik dan India.
Muhammad Syukur berkata, burung hantu kuning itu amat jinak dan tidak pernah lari apabila didekati.
Ujar remaja itu, burung yang berbulu coklat dan bermata kuning itu juga agak manja dan sering meminta makanan daripadanya terutama pada waktu malam.
“Selalunya burung hantu itu akan ketuk tingkap bilik tidur dan saya akan berinya ikan kering.
“Pada waktu siang, ia tidak begitu aktif dan akan menghabiskan masa dengan hinggap di sebatang pokok langsat di belakang rumah saya,” katanya.
Muhammad Syukur berkata, burung hantu kuning bagaikan ‘penjaga’ yang setia berlegar-legar mengawasi rumahnya pada waktu malam membuatkannya tidak takut lagi dengan ancaman tikus ataupun ular.
Sementara itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64, percaya burung hantu kuning itu tersesat dari hutan atau ladang kelapa sawit berhampiran.
“Burung ini bagaikan ahli keluarga baru kami. Mungkin dia selesa dengan anak bongsu saya yang memang sukakan haiwan.
“Kami tidak mengurungnya sebaliknya membiarkannya terbang bebas,” katanya.
No comments:
Post a Comment