Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki mualaf memilih hari pertama 2021 untuk melangsungkan pernikahan dengan gadis pilihan di sini semalam.
Muhammad Danial Vanathiah, 30, selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan, Nur Hamidah, 26, oleh Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Kuala Terengganu, Sukri Faiz Jusoh di Masjid Al-Hijrah, Padang Hiliran di sini pada pukul 8.57 pagi.
Dia yang memeluk Islam pada Julai 2018 bersyukur dan berterima kasih urusan pernikahannya diuruskan Unit Dakwah Saudara Kita Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
“Saya sebatang kara berhijrah ke Kuala Terengganu sejak tiga tahun lalu. Keluarga saya dan isteri yang berasal dari Selangor juga tidak dapat hadir berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
“Syukur Unit Dakwah Saudara Kita Maidam banyak membantu sejak saya memeluk Islam pada 25 Julai 2018. Semoga perkahwinan ini membawa titik perubahan lebih baik kepada saya dan isteri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Unit Dakwah Saudara Kita Maidam, Muhammad Syafiq Suresh berkata, pihaknya melakukan tanggungjawab sosial memudahkan urusan pernikahan Muhammad Danial Vanathiah dan pasangan.
Beliau berkata, lelaki mualaf yang bekerja sebagai mekanik terbabit juga layak menerima Bantuan Perkahwinan Mualaf sebanyak RM2,000.
“Bantuan tersebut bertujuan membantu golongan mualaf bagi memulakan kehidupan baharu di alam perkahwinan,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment